Anda di sini

JKKK berperanan penting pantau perkembangan pembangunan

Advertisement

BINTANGOR: Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan penting memantau segala bentuk perkembangan pembangunan yang digerakkan oleh kerajaan di kawasan terbabit.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata, usaha ini amat penting terutama melibatkan aktiviti pembangunan dijalankan pihak-pihak kontraktor yang dilantik kerajaan untuk melaksanakan sesuatu kerja.

“Kita mahu JKKK tahu bahawa mereka mempunyai peranan penting dalam perkara ini, terutama memastikan kerja dilaksanakan pihak kontraktor terbabit mematuhi piawaian dan spekfikasi yang ditetapkan.

“Sekiranya mereka mendapati pihak terbabit tidak mematuhi piawaian dan spekfikasi ditetapkan, JKKK berhak membuat laporan kepada pihak bertanggungjawab agar kerja-kerja terbabit dapat diperiksa dan dipantau.

“Usaha ini amat penting dalam memastikan kualiti perkhidmatan terbaik disalurkan kerajaan dapat mencapai sasaran dan memberi kepuasan kepada masyarakat menikmati kemudahan terbabit,” katanya pada Majlis Sekalung Budi Jasamu Dikenang di Dewan Masyarakat Pejabat Daerah Meradong, kelmarin.

Program itu dihadiri sekitar 300 orang dan turut dihadiri Pegawai Daerah Meradong Mastapa Julaihi, Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong DSP Mohd Hafipi dan Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Meradong Morsidi Helmi.

Menurut Abdullah, ketua masyarakat bersama peringkat akar umbi juga memainkan peranan penting dalam perkara tersebut.

“Sebagai masyarakat bertanggungjawab dan peka, kedua-dua peringkat ini turut mempunyai peranan sama ke arah perkara terbabit.

“Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab itu terhadap satu pihak sahaja.

“Usaha bergandingan mampu memberi keputusan lebih baik  khususnya untuk kebaikan bersama,” ujarnya.

Abdullah turut meminta semua masyarakat bersama-sama dengan kerajaan dalam menyemarakkan bulan kemerdekaan.

“Semangat cintakan negara sempena bulan kemerdekaan ini harus disemai dengan penuh jitu dalam sanubari dan jiwa rakyat negara ini.

“Langkah ini amat penting dalam memastikan perpaduan dan menghargai nilai-nilai kemerdekaan itu dapat dipupuk serta tidak dilupakan oleh generasi muda,” katanya.

Pada majlis tersebut, Abdullah menyampaikan surat lanjutan lantikan kepada 22 ketua kampung dari daerah Meradong serta menyampaikan cenderamata kepada beberapa ketua kampung dan Penghulu Zaini yang bersara.

Beliau turut menyampaikan geran kepada tujuh JKKK  bernilai RM5,000 bagi setiap JKKK dan menyampaikan sumbangan bantuan ihsan Yayasan 1MDB kepada 125 orang terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan anak-anak yatim.

Advertisement