Anda di sini

Isteri Asfia mengetuai senarai 335 penerima Pingat Terpuji Jubli Emas

Advertisement

KUCHING: Isteri Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Datin Amar Fatimah Iskandar mengetuai senarai 335 penerima Pingat Terpuji Jubli Emas yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Pingat Terpuji Jubli Emas ini merupakan Pingat Peringatan sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas Kemerdekaan Sarawak yang diwartakan pada 16 September 2013 yang lalu.

Pingat ini dianugerahkan kepada individu yang telah memberi khidmat dan jasa bakti terhadap pembangunan negeri ini sama ada dalam bidang ekonomi, politik atau sosial, perkhidmatan awam, sukan, seni dan budaya serta sumbangan para pemimpin masyarakat dan ketua-ketua kaum sejak kemerdekaan negeri Sarawak.

Penerima pingat lain ialah Datuk Dayang Morliah Awang Daud, Puan Sri Corrine Bua Nyipa, Datin Sri Leong Poh Ling, Puan Sri Julia Mawan, Datin Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Datin Sri Mary Manyin.

Temenggung Wilfred Yussin Bunjok, 71, merupakan salah seorang penerima keturunan Bisaya, yang pernah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 36 tahun sejak 1963 sebagai kerani pentadbiran dan bersara pada 1997 sebagai pegawai penerangan di Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak.

Sementara itu, Kupa Kanyan, 99, bekas pemanca kaum Punan dari Belaga yang pertama pada 1980-an juga merupakan seorang penerima pingat daripada suku kaum Orang Ulu.

Turut menerima pingat ini ialah Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, setiausaha politik, wakil-wakil rakyat, pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan, ketua-ketua kaum serta ahli-ahli perniagaan.

Hadir sama, isteri Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Empiang Jabu, Asfia, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom.

Advertisement