Anda di sini

Dasar Belia Malaysia baharu akan dilaksana

Advertisement

Bolehkan pembangunan komprehensif hadapi cabaran politik, ekonomi, sosial, teknologi

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Dasar Belia Malaysia baharu yang akan dilaksanakan untuk membolehkan golongan itu dibangunkan dengan lebih komprehensif khususnya dalam menghadapi cabaran politik, ekonomi, sosial dan teknologi.

Setiausaha Bahagian Dasar dan Strategik Kementerian Belia dan Sukan Malaysia Nik Abdul Kadir Nik Mohamad berkata, kajian untuk membentuk dasar baharu sedang dijalankan dan akan diserahkan pada Jemaah Menteri pada Disember nanti untuk dibentangkan dan dilaksanakan.

“Kita lihat banyak dasar di negara ini seperti Dasar Wawasan 2020, Dasar Pembangunan Negara dan dasar lain yang bersangkut paut dengan golongan belia.

“Sebab itu, kajian semula dan perubahan perlu dilakukan dalam Dasar Pembangunan Belia Negara 1997 dalam memastikan ia lebih komprehensif untuk pembangunan belia negara demi mencapai Wawasan 2020 kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada siri pembentangan ‘Cadangan dan Kerangka Pemurnian Dasar Belia Malaysia’ di Auditorium Jabatan Belia dan Sukan Negeri di sinikelmarin.

Abdul Kadir memberitahu, pada kajian semula dilaksanakan perubahan terutama dari segi takrifan umur belia serta kumpulan sasar.

“Kalau DPBM 1997, had umur ditetapkan dari 15 hingga 40 tahun, namun cadangan dasar baharu akan menetapkan had umur dari 15 hingga 30 tahun.

“Ini akan membuka peluang dan kerjaya belia dalam pelbagai bidang, politik, ekonomi, sosial dan teknologi sekali gus mengurangkan jurang generasi di kalangan belia,” jelasnya.

Beliau memberitahu, senario sekarang menunjukkan perubahan jurang yang drastik menyebabkan satu kajian dasar baharu perlu dilakukan.

Malah, menurutnya bagi memastikan dasar baharu itu lebih menyeluruh, pengambilan maklumat dan kajian melibatkan dua negeri yang mempunyai suku etnik yang ramai iaitu Sabah dan Sarawak dilakukan.

“Belia hari ini akan menjadi tonggak masa depan, sudah tiba masanya untuk kita membentuk satu dasar yang komprehensif untuk golongan belia dalam kita merealisasikan Wawasan 2020,” ujarnya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Abdul Haris Ishak berkata, Sarawak tidak tertinggal dalam menyokong kajian semula dasar itu bagi membolehkan belia di sini dibangunkan dengan lebih baik.

“Sebab itu kita panggil persatuan-persatuan belia yang ada di negeri ini untuk bersama-sama memberi pandangan dan cadangan yang dapat digunakan untuk memurnikan Dasar Belia Malaysia baharu,” ujarnya.

Program itu dihadiri lebih 80 peserta yang terdiri daripada kalangan ahli persatuan dan pertubuhan belia di negeri ini.

Pembentangan dan penjelasan cadangan dasar baharu itu oleh Penolong Ketua Setiausaha Bahagian Dasar dan Strategik KBS Ahmad Huzari Rewee.

Advertisement