Anda di sini

Banjir kilat melanda Limbang dan Lawas

Advertisement

BERTIDAK AWAL: Anggota polis di Balai Polis Medamit turut mengangkut barang penting sebagai persiapan awal bagi mengelak air yang semakin naik.

LIMBANG: Beberapa kawasan rendah di sini terutama Medamit ditenggelami air sedalam lebih dua kaki akibat hujan lebat yang turun sejak dua hari lalu.

Antara kawasan terjejas ialah Balai Polis Medamit dan beberapa rumah di kawasan sekitarnya.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi semalam berkata, tiada kerosakan teruk dialami anggotanya.

Bagaimanapun, pihaknya sudah melakukan persiapan rapi termasuk kemungkinan memindahkan barangan penting sekiranya air kian naik.

Setakat semalam, keadaan masih terkawal dan tiada pemindahan dilakukan terhadap mangsa banjir.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah memberitahu, beliau akan turun padang bagi memantau keadaan di kawasan terjejas banjir akibat hujan lebat beberapa hari lalu.

“Saya ada menerima maklumat daripada penduduk mengenai banjir kilat di kawasan Medamit dan akan ke lokasi kejadian bagi melihat sendiri keadaan kawasan terjejas,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, di LAWAS beberapa kawasan rendah di Trusan dan Sundar turut dinaiki air sedalam lebih dua kaki.

Setakat ini, keadaan masih terkawal dan Pejabat Daerah Lawas, Jabatan Kebajikan Masyarakat Lawas dan agensi berkaitan masih memantau keadaan tersebut.

 

Advertisement