Anda di sini

Jumlah perenang meningkat

Advertisement

Oleh Reno Benjamin //

Petanda baik bagi perbaiki mutu, standard sukan renang

SIBU: Pengerusi Persatuan Renang Amatur Sibu (SASA), Daniel Ngieng berpuas hati dengan peningkatan jumlah peserta renang yang mengambil bahagian pada Kejohanan Renang Antara Sekolah Rendah dan Menengah Bahagian Sibu.

“Penyertaan peserta pada kejohanan ini bukan sahaja menggalakkan tetapi membantu memperbaiki serta menaikan standard sukan renang di sini,” katanya pada penutupan kejohanan renang di Kolam Renang Bukit Lima, semalam.

Kejohanan itu dimenangi SMK Chung Hua yang menyapu kedua-dua kategori lelaki dan wanita sekolah menengah.

Sekolah rendah turut menyaksikan SJKC Tung Hua memenangi kedua-dua kategori.

Menurut Ngieng, kejohanan itu merupakan landasan terbaik peserta mengharumkan nama sekolah dan mencipta nama dalam arena renang.

Beliau memberitahu, persaingan sengit ditunjukkan peserta ketika kejohanan juga merupakan cara terbaik bagi memberi semangat dan galakkan kepada peserta melakukan yang terbaik.

“Dalam mana-mana pertandingan, pasti ada yang kalah dan menang. Namun, kita harus ingat dengan menyertai kejohanan ini sudah membuatkan kita menjadi pemenang,” katanya.

Menurut Ngieng, SASA akan terus mencari bakat-bakat baharu dalam sukan renang dengan menganjurkan pertandingan setiap tahun.

Perenang terbaik akan dipilih bagi menjalani latihan sekali gus membantu menaikan mutu sukan renang di sini.

Beliau juga berterima kasih kepada SMK Tiong Hin kerana berjaya menganjurkan kejohanan itu untuk empat tahun berturut-turut.

Advertisement