Anda di sini

Program diperhebat kekal dominasi Sarawak dalam Sukan Paralimpiad

Advertisement

KUCHING: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS) akan memperhebatkan program pembangunan atlet orang kelainan upaya (OKU) bagi mengekalkan dominasi Sarawak dalam Sukan Paralimpiad pada masa akan datang.

Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin berkata program pembangunan itu akan memfokuskan kepada pencarian bakat dan penambahan jumlah jurulatih baharu.

“Kita perlu mencari bakat-bakat baharu bagi menampung jumlah atlet sedia ada yang semakin meningkat usia,” ujarnya semasa menyambut ketibaan kontinjen paralimpik Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kelmarin.

“Ini perlu supaya kita dapat menyertai lebih banyak acara yang dipertandingkan dan memberi peluang kepada atlet meraih lebih banyak pingat pada kejohanan akan datang.”

Lee turut mengingatkan kontinjen negeri agar berwaspada dengan kebangkitan yang ditunjukkan oleh atlet dari negeri-negeri lain, khususnya Terengganu.

Justeru, beliau mahu skuad paralimpiad membuat persediaan dengan awal.

“Persediaan awal ini penting bagi memastikan kejuaraan kekal milik Sarawak pada Kejohanan Paralimpiad Ke-18 yang akan berlangsung di sini pada 2016 nanti,” tambahnya.

Terdahulu, Lee yang juga Menteri Muda Komunikasi mengucapkan syabas di atas kejayaan kontinjen Sarawak menjuarai Sukan Paralimpiad Kebangsaan XVII Perlis 2014.

Tambahnya, kejayaan cemerlang itu tidak akan tercapai tanpa kerjasama erat dari semua pihak termasuk pegawai, atlet dan jurulatih.

Sarawak mengesahkan kejuaraan buat kali ke-11 berturut-turut pada temasya dwitahunan itu setelah menggondol 66 emas, 55 perak dan 44 gangsa dengan jumlah keseluruhan 165 pingat.

Mereka menjuarainya pada 1994, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008, 2010 dan 2012.

Acara renang menyumbang emas terbanyak dengan 42 pingat, 19 perak dan 10 gangsa.

Olahraga dengan 20 emas, 30 perak dan 31 gangsa, diikuti angkat berat dengan tiga emas, empat perak dan satu gangsa.

Pingpong tidak menghampakan dengan sumbangan satu emas dan satu perak sementara badminton menghadirkan satu perak dan dua gangsa.

Terengganu di tangga kedua dengan 73 pingat, diikuti Johor (56), Sabah (58), Kedah (54), Kuala Lumpur (56), Perlis (31), Perak (45), Pulau Pinang (41), Melaka (36), Selangor (30), Kelantan (26), Negeri Sembilan (26), Pahang (21) dan Labuan (10).

 

Advertisement