Anda di sini

Tiada pilihan, sembunyi di tingkat bawah

Advertisement

KUCHING: Tiada pilihan lain kecuali terpaksa ber­sembunyi di tingkat bawah rumah adalah detik cemas yang dilalui oleh Idris Bujang, 46, bersama keluarganya ke­tika hujan lebat serta angin kencang yang berlaku di sini petang kelmarin.

Akibat fenomena alam tersebut, rumah dua tingkat yang didiami Idris sekeluarga di Kampung No. 5, Jalan Datuk Ajibah Abol di sini rosak di bahagian bumbung.

“Tidak dapat dibayangkan. Angin bertiup sangat kencang dan kelihatan berputaran di tanah.

“Sebaik sahaja reda, saya terkejut melihat atap rumah hilang dan semua bahagian atas rumah termasuk pa­kaian dan tilam basah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ketika kejadian, Idris ber­kata dia berada di rumah bersama ahli keluarga yang lain termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun.

“Saya baharu sampai di rumah selepas pulang kerja di mana ketika itu hujan lebat berserta angin kencang mula berlaku.

“Keadaan itu membuatkan kami terperangkap dan tidak tahu ke mana hendak lari se­hingga terpaksa bersembunyi dan berteduh di bahagian bawah rumah.

“Mujurlah semua kami selamat walaupun bahagi­an bumbung rumah rosak teruk,” kata Idris yang bekerja sebagai pembantu am di Jabatan Pendidikan Negeri.

Selain rumah Idris, angin kencang yang berlaku kel­marin turut menyebabkan kerosakan ke atas lapan rumah lain di kampung sama.

Sebuah daripada rumah tersebut rosak akibat di­hempap pokok tumbang.

Ekoran kejadian itu, Menteri Perumahan dan Pelancongan yang juga ADUN Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg telah melawat rumah-rumah yang rosak itu.

Susulan lawatan itu, Abang Johari ketika ditemu bual ber­kata akan membantu semua mangsa dengan menghulur­kan bantuan kewangan untuk membaiki rumah mereka.

Advertisement