Anda di sini

The Borneo Post sahut Cabaran Baldi Ais membantu meningkatkan kesedaran

Advertisement

TERIMA CABARAN: (Dari lima kiri) Chan, Phyllis, Liwan dan See bersama staf The Borneo Post melakukan Cabaran Baldi Ais.

KUCHING: The Borneo Post diketuai Editor Pengurusannya Francis Chan dan Pengurus Besar Operasi Phyllis Wong semalam menyahut Cabaran Baldi Ais (Ice Bucket Challege) bagi membuktikan syarikat akhbar berbahasa Inggeris tempatan itu komited membantu meningkatkan kesedaran umum mengenai penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS).

Cabaran yang berlangsung di pekarangan bangunan Crown Towers itu turut disertai Menteri Muda Warisan dan Kebudayaan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Liwan Lagang dan ADUN Batu Lintang See Chee How serta 14 kakitangan The Borneo Post terdiri daripada pemberita dan penyunting.

Phyllis berkata The Borneo Post menerima cabaran Syarikat Kumpulan Interhill untuk melakukan ‘ice bucket’ dan perkara utama yang perlu dilakukan ialah kajian mendalam mengenai ALS pada masa sama meningkatkan kesedaran umum mengenai ALS.

ALS merupakan penyakit yang menyerang keseimbangan sistem saraf atau lebih dikenali sebagai ‘Lou Gehring’.

“Secara peribadi saya berasakan menyimbah air ais ke badan seperti apa dialami penduduk tanah tinggi Bario khususnya pada waktu malam mengharungi cuaca dingin dan saya berpeluang merasainya ketika melakukan liputan bersama rakan lain baru-baru ini… jadi bagi saya ini (cabaran baldi ais) bukanlah satu cabaran kepada kami.

“Justeru saya amat berharap penduduk di tanah tinggi Bario khususnya warga emas tidak perlu menyimbah badan mereka menggunakan air ais untuk menikmati bekalan elektrik,” katanya ketika ditemui selepas program itu.

Bagi Chan pula, cabaran itu membawa makna cukup mendalam buat dirinya selepas kehilangan sahabat karib dalam dunia media cetak yang meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu akibat penyakit ALS.

“Saya melakukan ini bagi mengingati seorang rakan karib yang meninggal dunia kerana ALS kira-kira 10 tahun lalu…ia cukup bermakna buat saya walaupun ia tampak ringkas,” ujarnya.

Pada program itu The Borneo Post mencabar tiga lagi menteri kabinet negeri iaitu Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais.

Liwan turut menyifatkan program itu cukup bermakna buatnya dan ia dilakukan dengan penuh gembira dan bersedia menyumbang bantuan dalam bentuk kewangan kepada persatuan yang mewakili pesakit ALS menerusi geran projek kecil luar bandar (MRP) miliknya.

“Bagi saya air ais yang disiram ke badan tadi tidak cukup sejuk kalau dibandingkan dengan penderitaan dialami pesakit,” katanya sambil memberitahu bahawa beliau mencabar ADUN Batang Ai Malcolm Mussen Lamoh, ADUN Ngemah Alexander Vincent dan Ahli Parlimen Huju Rajang Wilson Uggak Kumbong.

Manakala See mencabar Menteri Kemajuan Tanah merangkap Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Pembangunan Sosial merangkap Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Tan Sri William Mawan Ikom dan Ahli Parlimen Bandar Kuching yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen.

“Acara ini bagi saya cukup bermakna walaupun ia ringkas. Saya amat gembira kerana diberi peluang menyertai kumpulan ini.

“Kepada YB atau Menteri yang dicabar, saya amat berharap mereka akan menyahut cabaran ini dalam tempoh 24 jam dari sekarang,” ujar See.

Advertisement