Anda di sini

The Borneo Post Run 2014 bakal gegar Dataran Sibu Fasa 1 esok

Advertisement

SIBU: Esok, The Borneo Post Run 2014 akan berlangsung dan peserta yang telah mendaftar untuk mengambil bahagian diminta melaporkan diri di Dataran Sibu Fasa 1 dengan membawa MyKad.

Waktu melaporkan diri ialah pada jam 6.30 pagi hingga 7.15 pagi Sabtu, 30 Ogos dengan larian dijangka akan bermula sekitar jam 7.30 pagi.

Antara kategori larian yang dipertandingkan ialah Kategori A melibatkan Terbuka Lelaki sejauh lapan kilometer, Kategori B Terbuka Wanita (8KM), manakala Kategori E Kanak-Kanak Lelaki (8KM) dan Kategori F Kanak-Kanak Perempuan (8KM).

Syarat bagi penyertaan untuk kategori kanak-kanak lelaki dan perempuan haruslah berumur bawah 18 tahun yang lahir sebelum atau selepas tahun 1996.

Selain itu, terdapat juga acara larian ‘Fun Run’ (4KM) untuk Kategori V.

Masa kelayakan untuk larian Borneo Post Run 2014 adalah satu jam 15 minit bagi kategori Terbuka Lelaki dan Wanita (8KM) dan kategori Lelaki dan Perempuan Junior (8KM).

Manakala masa kelayakan untuk kategori Fun Run (4KM) adalah 45 minit.

Bagi acara Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita, pemenangi tempat pertama akan meraih wang tunai RM300 berserta trofi, tempat kedua RM200 serta trofi dan tempat ketiga RM150 berserta trofi diikuti tempat keempat RM100, kelima RM80 dan tempat keenam hingga ke-30 sebanyak RM30.

Manakala kategori Kanak- Kanak Lelaki dan Kanak- Kanak Perempuan, juara akan memperoleh wang tunai RM200 serta trofi, tempat kedua RM150 berserta trofi, tempat ketiga RM100 berserta btrofi, tempat keempat RM80, kelima RM50 dan tempat keenam hingga ke-60 sebanyak RM30.

Untuk acara ‘Fun Run’ pula, tempat pertama meraih wang tunai RM180 berserta trofi, kedua RM130 serta trofi, tempat ketiga RM100 berserta trofi.

Bagi tempat keempat akan menerima wang tunai RM80, kelima RM50 dan tempat keenam hingga ke-30 membawa pulang RM20.

Antara tetamu yang akan hadir untuk merasmikan acara larian ialah Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Andrew Wong Kee Yew, Ketua Pegawai Operasi See Hua Group Temenggung Vincent Lau Lee Ming, Pengurus Jualan (Semenanjung Malaysia) Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad, Billy Chin dan Presiden Kelab Sukan Marathon, Ling Chee Chin.

 

Advertisement