Anda di sini

Seramai 240 pemain golf berentap pada Kejohanan Golf Grand Sarawak

Advertisement

KUCHING: Seramai 240 pemain golf akan mengambil bahagian dalam kategori Terbuka dan Jemputan dalam Kejohanan Golf Grand Sarawak 2014 yang akan diadakan di Kelab Golf Sarawak (KGS) dari 30 Ogos hingga 1 September.

Dianjur oleh Persatuan Sarawak Golf (SGA), juara keseluruhan dalam kategori lelaki terbuka akan menerima Piala Pusingan YAB Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Bin Haji Satem manakala juara dalam kategori wanita akan menerima Piala Pusingan YABhg Puan Sri Dato Hajah Jamilah Binti Haji Anu.

Pengumuman mengenai acara tiga hari tersebut telah dibuat oleh Presiden SGA, Hoan Kee Hock semasa upacara kunjungan hormat merangkap majlis penyerahan piala pusingan yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Petra Jaya di sini, semalam.

Majlis tersebut telah dihadiri Adenan yang menyerahkan piala pusingan bagi kategori lelaki manakala penyerahan piala pusingan bagi kategori wanita telah dilakukan oleh isteri beliau, Jamilah.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai-pegawai dan ahli-ahli SGA dari jawatankuasa penganjur kejohanan.

Menurut Hoan dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, semalam beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana bersetuju menjadi penaung bagi kejohanan yang julung kali diadakan di dalam kalendar golf Sarawak.

“Kami merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan juga isterinya Yang Berbahagia Puan Sri Datuk Jamilah Anu di atas sokongan dan galakan mereka dalam penganjuran kejohanan sulung ini,” katanya .

Menurut beliau, kejohanan tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pemain golf tempatan dari seluruh Sarawak selain 12 peserta dari Sabah dan seorang peserta dari Kuala Lumpur.

“Kami mendapat sambutan yang sangat baik daripada pemain golf di Sarawak dan juga dari Sabah yang untuk menunjukkan bahawa kejohanan ini mempunyai potensi yang baik untuk menjadi acara golf utama yang akan dianjurkan di dalam negara,” kata Hoan.

Peserta tempatan terdiri dari ahli ahli KGS, Persatuan Golf Junior Pertama Sarawak, Samarahan Country Club, Damai Golf and Country Club, Kelab Golf Penjara, Kelab Golf Sibu, Bintulu Golf Club dan Kelab Golf Miri manakala penyertaan telah pun diterima dari Sabah Golf & Country Club (SGCC) dan Keningau Golf Club.

Acara ini dibuka kepada pemain golf dengan handicap 14 atau di bawah bagi kategori lelaki manakala bagi wanita ia adalah untuk mereka dengan handicap 24 dan ke bawah.

Kejohanan bagi kategori lelaki akan diadakan di padang Matang / Santubong manakala bagi wanita adalah di padang Siol / Demak.

Terdapat 15 hadiah ditawarkan dalam acara Gross lelaki dan 8 hadiah yang ditawarkan kepada pemenang acara Net manakala dalam kategori wanita ada juga hadiah-hadiah menarik menanti pemenang.

 

Advertisement