Anda di sini

Jejak pengotor

Advertisement

SIKAP BURUK: Gambar-gambar cetakan rakaman CCTV menunjukkan warga kota membuang sampah sarap ke dalam kereta sorong yang diletakkan di lukisan mural anak orang utan di Lebuh India.

KUCHING: Sepatutnya menjadi kebanggaan, lukisan mural anak orang utan di Lebuh India di sini sebaliknya menjadi mangsa sikap pengotor segelintir warga kota.

Pemantauan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu jelas menunjukkan ramai yang menjadikan kereta sorong hiasan pada lukisan tersebut sebagai tong sampah.

Datuk Bandarnya Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai yang kesal dengan perkara itu berkata, orang ramai khasnya di kawasan tumpuan bandar raya ini harus sedar bahawa tingkah laku mereka dipantau menerusi CCTV.

 “Hasil pemantauan CCTV jelas sekali mempamer setiap gerakan segelintir warga kota yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap ke dalam kereta sorong ini.

“Sekali lagi, saya ingin mengingatkan warga kota agar lebih prihatin dan tidak menjadikan kereta sorong ini sebagai tong sampah.

“Kita harus menanam perasaan cintakan bandar sekali gus menjadikan bandar raya Kuching sebagai bandar yang cantik, bersih dan selamat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika melawat kawasan tersebut selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang di Lebuh India di sini, semalam.

Abang Abdul Wahap berkata, warga kota harus memupuk kes­edaran sivik, mengikis sikap suka membuang sampah sesuka hati dan bersama-sama menjaga harta benda awam.

“Warga kota harus lebih prihatin dan bertanggungjawab dalam aspek kebersihan. Jangan melakukan tindakan yang boleh merosakkan bandar,” tambahnya.

Terdahulu ketika ditemui pada majlis tersebut, Abang Abdul Wa­hap berkata projek pemasangan bumbung di Lebuh India sedang melalui proses tender dan dijangka diambil alih oleh kontraktor yang dipertanggungjawabkan hujung bulan ini.

Justeru, beliau menyarankan agar para peniaga di Lebuh India mem­berikan kerjasama agar kerja-kerja pemasangan bumbung tersebut dapat disegerakan.

“Kami (DBKU) mahu setiap peniaga di sepanjang Lebuh India ini memberikan kerjasama yang sewajarnya bagi mengelak sebarang masalah yang boleh menjejaskan kerja-kerja pemasangan bumbung itu.

“Meskipun ia sedikit sebanyak akan mengganggu operasi per­niagaan peniaga di Lebuh India, tetapi kami percaya dengan adanya kerjasama yang terjalin, ia dapat diatasi dengan bijak dan teratur,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerja-kerja tersebut tidak akan menjejaskan operasi perniagaan di situ kerana para peniaga masih dibenar untuk beroperasi seperti biasa, walaupun kerja pemasangan bumbung sedang dijalankan.

“Para peniaga tidak perlu risau dengan gangguan sepanjang projek pemasangan bumbung itu kerana ia juga akan diadakan secara ber­peringkat.

“Pihak kontraktor akan memu­lakan projek tersebut dengan memasang tiang menggunakan kaedah cerucuk mikro yang hanya mendatangkan gegaran minimum terhadap bangunan di sekeliling,” katanya.

Advertisement