Anda di sini

Wanita kekal sasaran penjenayah

Advertisement

Oleh Jeremy Lanson //

224 wanita jadi mangsa kes jenayah untuk tujuh bulan pertama tahun ini

ALBUM: Zainuddin (duduk tengah) bergambar bersama penganjur dan peserta kempen kesedaran tersebut semalam.

KUCHING: Wanita kekal sasaran penjenayah apabila untuk tujuh bulan pertama tahun ini telah mencatat seramai 224 wanita menjadi mangsa kepada beberapa kes jenayah di seluruh negeri.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak ACP Zainuddin Zainal berkata, untuk jenayah seksual sahaja merekodkan 77 laporan kes rogol sementara 39 kes cabul telah diterima sepanjang tempoh tersebut tahun ini.

Justeru, beliau berharap diadakan lebih banyak kempen kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu diamalkan kaum wanita khususnya untuk mengelak daripada menjadi mangsa penjenayah.

“Daripada statistik, seramai 224 wanita menjadi mangsa kes jenayah membabitkan 77 kes rogol, cabul (39), samun berkumpulan (44), samun tanpa senjata api (30), ugutan jenayah (86) dan 49 lagi melibatkan kes-kes yang mendatangkan kecederaan.

“Selain itu, untuk tempoh sama juga seramai tujuh wanita di negeri ini telah dibunuh oleh penjenayah.

“Sehubungan itu, kempen seperti ini diharap akan memberi kesedaran kepada wanita tentang cara mengelak daripada terus menjadi mangsa jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kempen Kesedaran Wanita bertemakan ‘Respek Wanita’ anjuran Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak semalam.

Bercakap mengenai statistik keseluruhan kes jenayah di negeri ini, Zainuddin memberitahu bahawa sehingga semalam jumlah kes masih menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Setakat hari ini, masih lagi menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 8.6 peratus atau 527 kes kurang daripada tahun lepas,” katanya.

Seramai 150 peserta yang terdiri daripada ahli PERKEP serta AMANITA menyertai kempen tersebut semalam yang dipengerusikan oleh Superintenden Ong Chin Lan dari Bukit Aman, ASP Noor Liyana Shafee dan ASP Tumar Lunya dari IPK Sarawak.

Advertisement