Anda di sini

SABERKAS bantu Adenan mentadbir

Advertisement

KUCHING: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) akan terus membantu Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mentadbir urus negeri ini.

Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia terutama dalam menjaga perpaduan serta keharmonian pelbagai kaum selain memartabatkan pembangunan sosioekonomi di negeri ini.

“SABERKAS adalah organisasi yang berwarna-warni kerana kita mempunyai semua kaum di dalamnya dan yang paling baik adalah kita bekerja seperti dalam sebuah keluarga.

“Ini kerana kita mempunyai sumber di mana budaya serta keadaan persekitaran kita kuat dan negeri kita aman damai.

“Disebabkan itu, SABERKAS bersama dengan pimpinan negeri tidak mahu orang yang melampau datang ke Sarawak kerana ia boleh menjejaskan perpaduan yang begitu erat di kalangan kita,” katanya.

Abang Johari yang juga merupakan Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri SABERKAS di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Timbalan Presiden SABERKAS Datuk Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Agung SABERKAS Dr Abdul Rahman Junaidi, Naib-Naib Presiden SABERKAS iaitu Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Datuk Lee Kim Shin dan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Penolong Setiausaha Agung SABERKAS Abu Seman Jahwie.

Terdahulu, Hasidah yang juga pengerusi pengelola majlis menegaskan bahawa SABERKAS terus mengamalkan aspek kebersamaan dalam pentadbiran pimpinannya.

“Kita tidak mahu SABERKAS hanya diwakili satu bangsa, agama dan jantina sebaliknya ia haruslah diwakili semua.

“Dengan itu, ia diharap akan dapat mengembalikan kegemilangan SABERKAS,” katanya.

Advertisement