Anda di sini

Pemilik projek perlu lantik kontraktor utama berwibawa

Advertisement

BINTULU: Pemilik sesuatu projek perlu memainkan peranan memastikan kontraktor utama yang dilantik berwibawa dan mempunyai rekod baik dalam amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam projek-projek yang dilaksanakan.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sarawak Mohd Hatta Zakaria berkata kontraktor utama juga perlu ada tanggungjawab dalam memilih subkontraktor bagi menyediakan perkhidmatan tertentu untuk sesuatu projek.

Katanya untuk pekerja mereka perlu memberi kerjasama baik kepada majikan supaya apa juga rancangan dapat dilaksanakan tanpa memberi kesan terhadap keselamatan dan kesihatan mereka serta alam sekitar.

“Sekiranya semua pemilik, kontraktor, subkontraktor dan pekerja dapat melaksanakan tanggungjawab yang diperuntukkan di bawah undang-undang maka kemalangan atau insiden tidak diingini dapat dibendung,” katanya pada Majlis Perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Negeri Sarawak di Tapak Projek MLNG Train 9, Tanjung Kidurong di sini semalam.

Hatta berkata, dari Januari hingga Julai tahun ini sebanyak 13 kes kemalangan direkodkan di tapak binaan dan empat melibatkan kes maut dan antara penyebabnya ialah jatuh dari tempat tinggi, lemas disebabkan asap, terjatuh ke dalam tangki dan dihempap objek.

Beliau berkata sejajar dengan tema sambutan ‘Majikan dan Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan’, majikan dan pekerja perlu mengambil pendekatan lebih inovatif dalam memastikan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja masing-masing sentiasa baik dan terkawal.

Katanya dengan cara itu ia akan meningkatkan kualiti kesihatan dan produktiviti serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam pada itu, program tersebut meningkatkan tahap pemahaman terhadap aspek pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Kilang dan Jentera 1967 dan menerapkan nilai budaya kerja selamat dan sihat dan amalan pencegahan kemalangan di tempat kerja di kalangan peserta.

Selain itu, untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan aspek keselamatan semasa bekerja di tapak bina dan kerja-kerja kejuruteraan, perkongsian pengalaman dan pembelajaran terhadap pelaksanaan sistem pengurusan berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Program anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sarawak (JKKPS), Petronas LNG T9 Sdn Bhd dan JGC (M) Sdn Bhd disertai 3,600 pekerja.

Antara aktiviti diadakan ialah seminar keselamatan dan kesihatan di tapak binaan, kerja-kerja kejuruteraaan membabitkan pembentangan tiga kertas kerja oleh JKKPS, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan JGC(M) Sdn Bhd.

Turut hadir Pengarah Projek Petronas LNG Train 9 Pandi Othman.

Advertisement