Anda di sini

Pegawai polis berenang 100-150 meter dari kawasan pertempuran

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang pegawai Cawangan Khas Bukit Aman berenang antara 100 dan 150 meter dari kawasan tempur di perkampungan air Kampung Sri Jaya, Simunul di Semporna pada 2 Mac tahun lepas, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu semalam.

Sarjan Mejar Mohd Zamari Suhot berkata setelah terjatuh ke dalam laut semasa berada di laluan papan ketika cuba mengelak tembakan peluru dalam kejadian jam 7.30 petang, beliau berenang ke sebuah surau di mana beliau menemui anggota polis dari Bahagian Narkotik Semporna, yang memberinya bantuan.

Selepas itu, beliau dan anggota polis narkotik itu mengawal berdekatan simpang Jambatan 5 perkampungan itu yang membawa kepada rumah di mana seorang suspek pencerobohan Lahad Datu yang dikenali sebagai “Imam Tua”, dipercayai sedang bersembunyi.

“Kami bertahan dan berkawal di simpang Jambatan 5 dan pada masa itu, telah datang dua anggota polis, salah seorang adalah dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan seorang lagi dari Bahagian Siasatan Jenayah Semporna (CID), berkawal di simpang itu,” katanya.

Apabila melihat Mohd Zamari tidak membawa senjata, beliau berkata anggota CID Semporna itu memberinya senjata M16 sedangkan anggota berkenaan hanya bersenjatakan pistol.

Ditanya timbalan pendakwa raya Datuk Abdul Wahab Mohamed berapa lama beliau dan tiga anggota polis itu berkawal di simpang Jambatan 5, Mohd Zamari berkata ia antara empat dan lima jam.

Abdul Wahab: Boleh ceritakan kepada mahkamah apakah yang berlaku dalam empat ke lima jam itu? Mohd Zamari: Saya meminta tiga anggota polis itu menghubungi mana-mana pasukan keselamatan untuk memberi bantuan.

Abdul Wahab: Adakah mana-mana anggota polis itu berjaya menghubungi sesiapa? Mohd Zamari: Anggota dari Bahagian Siasatan jenayah Semporna bernama Nizam telah dapat menghubungi rakanrakannya, yang pada masa itu, dipercayai terperangkap di salah sebuah rumah dekat rumah sasaran.

Mohd Zamari berkata semasa mereka berkawal, anggota polis yang dikenali sebagai Nizam menerima panggilan telefon dari pasukan keselamatan yang memintanya mencari kain putih untuk diikat di lengan mereka sebagai tanda pengenalan polis.

“Dalam masa yang sama, saya diberitahu oleh rakanrakan yang bersama saya, yang dapat menghubungi sesiapa menggunakan telefon, bahawa ada pasukan yang terperangkap yang jumlah dan kedudukan mereka tidak diketahui.

“Mereka turut memberitahu saya bahawa Superintenden Ibrahim Lebar telah terkorban, ASP Mohamad Hasnal Jamil alami cedera parah dan Sarjan Baharin Hamid tidak diketahui kedudukannya,” kata beliau.

Menurutnya pasukan teknikal ASP Azra Nursaffree Ramli dan tiga yang lain juga selamat, namun lokasi mereka tidak diketahui.

Selepas lima jam berkawal sambil berdiri, Mohd Zamari berkata pasukan yang berkawal di gelanggang bola jaring di pintu masuk Jambatan 5, tempat berkumpul sebelum melakukan serbuan ke atas Imam Tua, memberitahu bahawa adalah selamat untuk mereka meninggalkan perkampungan itu.

Katanya beliau kemudian diarahkan ke ibu pejabat polis daerah Semporna untuk melaporkan keadaan di perkampungan itu.

Semasa pemeriksaan balas, Mohd Zamari berkata beliau tidak melakukan pemeriksaan fizikal ke atas Imam Tua dan tidak pernah diberitahu nama sebenar suspek itu.

“Adakah anda tahu bahawa Imam Tua telah ditembak mati di Kampung Simunul, Semporna?” tanya peguam Datuk N. Sivananthan. Mohd Zamari menjawab beliau tidak pasti.

Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan dalm kes ini, dengan sesetengah mereka menghadapi tuduhan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, mencari anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement