Anda di sini

Pasang kotak hitam pada kenderaan

Advertisement

Oleh Jessica Jawing //

MIROS disaran teliti sebagai langkah kurangkan statistik kemalangan

TEKNOLOGI: Manyin mendengar penerangan daripada Wong (kanan) mengenai peranan MIROS dalam membangunkan teknologi keselamatan jalan raya di Malaysia di pameran yang diadakan selepas pelancaran RADIS, semalam.

KUCHING: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) disaran meneliti atau memperkenalkan pemasangan kotak hitam pada kenderaan di negara ini sebagai langkah alternatif mengurangkan statistik kemalangan jalan raya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, pemasangan kotak hitam itu  yang sudah diperkenalkan di Amerika Syarikat juga dicadangkan untuk kenderaan peribadi kerana ia mampu membantu mengesan pemanduan seseorang.

“Saya percaya pemasangan kotak hitam akan mengesan sama ada pemandu kenderaan itu mematuhi undang-undang, melangkaui had laju dan sebagainya.

“Jika ia diperkenalkan di Malaysia ia mungkin melibatkan pihak berkaitan iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang mempunyai kuasa untuk menahan atau memeriksa pemandu yang menyalahi had laju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ‘Road Attribute Data Logger and Inspection System (RADIS)’ oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang dihadiri Ketua Pengarah MIROS Profesor Dr Wong Shaw Voon di sini, semalam.

Tambah Manyin, setiap kotak hitam itu dianggarkan menelan kos RM300 dan berharap pendekatan yang digunakan mampu mendatangkan impak positif terhadap statistik kemalangan jalan raya di negara ini termasuk di Sarawak.

Beliau berharap MIROS akan terus meneliti perkara berkenaan sementara JPJ akan bertindak untuk mengawal dari segi pemandu yang melanggar had laju atau kesalahan lain.

Menurut beliau, di Sarawak kerajaan memberi penekanan utama yang membabitkan faktor kemanusiaan, menaik taraf keadaan jalan dan penguatkuasaan dalam mencegah atau mengurangkan insiden kemalangan jalan raya.

“Namun bagi MIROS, mereka lebih kepada penyelidikan iaitu sebagai pelengkap kepada usaha kita dalam perkara yang sama iaitu mengurangkan kes kemalangan,” tegasnya.

Mengenai pelancaran RADIS, Manyin berkata ia merupakan alat resolusi tinggi yang membantu mengesan kawasan kerap kemalangan, kawasan berisiko tinggi dan mengetahui kawasan terdapatnya kerja-kerja pembinaan.

Dinamakan sebagai RADIS, sistem ini merangkumi terutamanya sistem rakaman video dan sistem pemprosesan data di mana rakaman persekitaran jalan raya yang berterusan dapat dilakukan menerusi kaedah pandu lalu dan imej yang dirakamkan diberi rujukan geo dan dilabel dengan data geometrik jalan bagi tujuan penilaian.

Sementara itu menurut Wong, RADIS merupakan kerjasama antara MIROS dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melalalui rakan kerjasama teknologi mereka, Recogine Technology Sdn Bhd.

Kini katanya sudah tiba masanya MIROS mahu memperluaskan lagi program berkenaan di Sarawak dan mereka mendapat kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

“Sebagai perintis kami akan melakukan kajian penilaian di sepanjang 100km jalan iaitu antara Kuching dan Serian sebagai sebahagian daripada kajian kami.

“Kami berharap ia mendatangkan kejayaan dan daripada itu kerajaan negeri akan menggunakan pendekatan ini,” katanya sambil memberitahu bahawa RADIS adalah penilaian jalan raya dan kemudian menyusul dengan menggunakan kenderaan tinjauan berkenaan.

Advertisement