Anda di sini

Naik taraf jalan dua lorong Batu 10-Batu 15 bermula awal 2015

Advertisement

KUCHING: Projek menaik taraf jalan dua lorong di Batu 10 hingga Batu 15 di sini yang menelan kos RM80 juta dijangka bermula pada awal tahun depan selepas projek diluluskan oleh kerajaan persekutuan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, projek itu yang kini sudah mempunyai reka bentuknya, hanya menunggu untuk pelaksanaan.

“Projek ini telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan dengan kos RM80 juta dan ia melibatkan kerja menaik taraf jalan kepada dua lorong di Batu 10 hingga Batu 15 iaitu sepanjang 8 kilometer.

“Reka bentuk projek sudah ada, cuma kini kita sedang menunggu arahan daripada kerajaan persekutuan khasnya Kementerian Kewangan untuk membuka tender dan berharap ia akan dimulakan pada awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ‘Road Attribute Data Logger and Inspection System’ (RADIS) oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang dihadiri Ketua Pengarah MIROS Profesor Dr Wong Shaw Voon di sini, semalam.

RADIS merangkumi sistem rakaman video dan sistem pemprosesan data di mana rakaman persekitaran jalan raya yang berterusan dapat dilakukan menerusi kaedah pandu lalu.

Menurut Manyin, projek menaik taraf berkenaan adalah sebahagian daripada projek menaik taraf jalan kepada dua lorong di sepanjang jalan utama di Sarawak.

Beliau berkata kementeriannya telah mengemukakan kepada kerajaan persekutuan untuk menaik taraf 770km jalan kepada dua lorong di negeri ini dengan kos RM9 bilion hingga RM12 bilion.

“Kita mahu menaik taraf 770km jalan kepada jalan dua lorong bermula dari Miri sehingga ke Serian, ini kerana di dalam Kuching ia sudah siap dan beberapa kawasan di Sibu juga sudah dilaksanakan dan yang tinggal hanya 770km,” katanya sambil berharap ia akan dimulakan secepat mungkin.

Manyin memberitahu, sementara itu 15 lagi lorong memotong di jalan utama dari Miri hingga ke Kuching akan disiapkan sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Katanya lorong memotong berkenaan adalah di kawasan yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai kawasan cenderung kemalangan atau kawasan hitam di sepanjang 900km jalan utama.

“Di Sarawak JKR telah mengenal pasti beberapa kawasan kerap kemalangan di jalan utama dari Miri ke Kuching, dengan itu JKR akan membina 95 lorong memotong di kawasan terbabit, iaitu kini dalam fasa pelaksanaan,” tegasnya.

Sementara itu Pengarah JKR Sarawak Zuraimi Sabki berkata, sehingga kini lebih kurang lima lorong memotong telah disiapkan dan sementara 15 lagi bakal disiapkan sebelum berakhirnya RMK-10.

“Bagaimanapun ini merupakan program berterusan dan ada antara lorong ini sedang dalam pelaksanaan sementara yang selebihnya akan kita laksanakan di bawah RMK-11 kerana projek ini sudah diluluskan dan mempunyai bajet,” kata Zuraimi.

Advertisement