Anda di sini

Kuching enggan dilabel selaku pasukan pilihan

Advertisement

KUCHING: Juara bertahan Kuching enggan melabel dirinya selaku pasukan pilihan untuk menjuarai Kejohanan Piala Sarawak 2014 yang akan berlangsung dari 20-27 September depan.

Penolong pengurusnya, Iswandi Ali Hassan berkata pasukan itu bakal berdepan laluan berliku setelah diundi dalam kumpulan ‘maut’ bersama Bintulu, SUKMA 2016 dan Kapit.

“Saingan dijangka sengit kerana lawan kita turut berpotensi untuk memburu kemenangan. Namun, ia tidak menghalang hasrat kita untuk memastikan kejuaraan kekal milik Kuching,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, fokus utama skuadnya di peringkat awal ialah mencatat kemenangan dalam semua perlawanan peringkat kumpulan.

Bagi merealisasikan impian tersebut, Persatuan Bola Sepak Kuching (KDFA) telah melantik Idris Untong bagi membimbing pasukan sambil dibantu Mohd Safri Amit.

Kedua-dua bekas pemain Sarawak itu mendapat kepercayaan KDFA berdasarkan pengalaman luas mereka dalam mengendalikan skuad remaja sebelum ini.

Iswandi menambah, proses pemilihan 25 pemain hampir selesai dan KDFA dijangka mengumumkan senarai pemain tersebut dalam minggu ini.

“Kita telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi memilih pemain- pemain yang benarbenar berkualiti dan mampu menggalas tugas yang diberikan.

“Persatuan meletakkan harapan tinggi di bahu pemain untuk memburu kejuaraan justeru kita harus memastikan hanya pemain terbaik dipilih,” katanya.

Kejohanan Piala Sarawak 2014 anjuran Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan berlangsung di Kuching dan Samarahan dengan 14 pasukan mengesahkan penyertaan.

Kuching, Bintulu, SUKMA 2016 dan Kapit diundi dalam Kumpulan A, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Miri dan Sarikei dalam Kumpulan B, sementara Limbang, Betong, Mukah dan Samarahan dalam Kumpulan C manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sri Aman dan Sibu dalam Kumpulan D.

Advertisement