Anda di sini

Sultan Selangor tangguh terima peletakan jawatan MB

Advertisement

TETAP CERIA: Abdul Khalid menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media di Bangunan Kerajaan negeri (SUK) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam semalam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baharu ditentukan.

Sultan Selangor membuat keputusan itu setelah menerima menghadap Abdul Khalid yang menyembah hasrat meletak jawatan sebagai menteri besar di Istana Bukit Kayangan di sini.

Abdul Khalid berkata, Sultan Selangor mahu memasti-kan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar dan teratur.

“Saya telah menyembah maklum bahawa dinamik politik di Selangor kian me-ningkat dan telah menimbulkan keresahan rakyat. Demi kelangsungan kestabilan politik di negeri ini saya telah kemukakan kepada tuanku hasrat untuk meletak jawatan sebagai menteri besar Selangor.

“Tuanku telah mengambil maklum hasrat saya dan tuan-ku telah membuat keputusan untuk menangguh penerima-an peletakan jawatan saya sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai,” katanya dalam sidang media selepas menghadap Sultan Selangor di Istana.

Abdul Khalid berkata sehubungan itu, baginda telah menitahkan agar pemimpin Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP – mencadangkan lebih daripada dua nama daripada setiap parti itu sebagai calon menteri besar Selangor.

Menurutnya, ia bagi memudahkan baginda untuk menentukan calon yang berkelayakan seterusnya memberi perkenan untuk melantik mana-mana calon yang difikirkan layak sebagai menteri besar.

Abdul Khalid berkata ini adalah sejajar dengan konvensi yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan menteri besar Selangor sebelum ini.

“Sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Perkara LI (1), Perkara LIII (2)(a), (4) dan LV (2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Sultan Selangor telah diper-untukkan dengan kuasa budi bicara mutlak dalam pelantikan seorang menteri besar bagi kerajaan negeri Selangor yang pada pendapat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.

Abdul Khalid berkata beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Selangor untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung kemelut kepimpinan Selangor demi kepentingan rakyat.

Sambil berjanji akan akur dengan keputusan baginda, Abdul Khalid berkata beliau yakin baginda akan meng-utamakan kepentingan rakyat serta negeri dalam membuat pertimbangan.

Beliau turut ditanya sama ada cadangan untuk menama-kan lebih daripada dua calon menteri besar Selangor baharu itu daripada setiap parti dalam pakatan, menunjukkan penolakan Sultan Selangor terhadap pencalonan tunggal Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai menteri besar yang baharu.

Abdul Khalid menegaskan perkara itu langsung tidak timbul semasa pertemuannya dengan Sultan Selangor semalam.

“Ini ialah tatacara (mendapatkan senarai nama calon menteri besar) yang pernah dilakukan oleh Istana bukan sahaja semasa Pakatan Rakyat memerintah tetapi semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini pun sudah diamalkan,” katanya.

Ditanya sama ada tempoh untuk penamaan calon menteri besar Selangor telah ditetapkan, Abdul Khalid menjelaskan pihak Istana akan menulis surat kepada pemimpin setiap parti ber-kenaan bagi menyatakan permintaan baginda itu.

Ditanya mengenai kriteria seorang menteri besar Sela-ngor yang baginda mahukan, beliau berkata: “Pada saya biasanya Istana mempunyai beberapa pandangan daripada mereka yang layak untuk menjadi menteri besar.

“Pertimbangan (untuk calon menteri besar) ke-biasaannya perlu mendapat keyakinan daripada DUN dan sejajar dengan konvensyen. Apapun ketiga-tiga parti itu (PKR-PAS-DAP) perlu mencadangkan maksimum empat nama ADUN daripada parti masing-masing untuk dipertimbangkan oleh ba-ginda,” katanya.

Menurut Abdul Khalid, tindakan Sultan Selangor yang meminta lebih daripada dua nama untuk calon menteri besar baharu juga tiada kaitan dengan penolakan PAS terhadap Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal jawatan itu.

“Sultan Selangor telah menerangkan kepada saya bahawa permintaan lebih daripada dua calon menteri besar adalah situasi yang sama semasa pemerintahan ayahanda baginda sebelum ini,” katanya.

Mengulas mengenai DAP yang tidak mempunyai ADUN berbangsa Melayu di Selangor, Abdul Khalid berkata parti itu boleh menamakan mana-mana calon daripada PKR dan PAS.

“DAP dahulu mencalonkan saya (sebagai menteri besar),” katanya.

Jelasnya, beliau juga tidak akan mencampuri urusan pemilihan calon menteri besar yang baharu sambil menambah terpulang kepada baginda untuk memilih sekiranya ada calon yang bukan anak jati Selangor.

Menjawab pertanyaan sama ada Sultan Sharafuddin ada meminta nasihat untuk membubarkan DUN sebagai langkah menyelesaikan kemelut politik di negeri ini, Abdul Khalid berkata perkara itu tidak dibincangkan pada pertemuan tersebut me-mandangkan ia (pertemuan dengan Sultan Selangor) lebih fokus kepada penyelesaian kedudukan menteri besar.

Ketika ditanya sebarang kemungkinan untuk meng-adakan persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Khalid berkata perkara itu juga tidak timbul buat masa ini.

Abdul Khalid dalam pada itu berkata beliau akan me-neruskan pentadbiran kerajaan negeri bersama-sama empat anggota exco daripada PAS sehingga menteri besar yang baharu dilantik.

Beliau turut memberitahu bahawa beliau akan terus kekal sebagai ADUN Pelabuhan Klang seperti yang telah diberi mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun lepas.

Abdul Khalid yang kelihatan tenang sepanjang sidang media selama setengah jam itu turut berseloroh ketika ditanya sebab beliau mahu meletak jawatan sebagai menteri besar.

“Dia orang tak nak saya dah,” katanya bersahaja menyebabkan semua yang memenuhi bilik sidang media itu ketawa.

Ditanya sama ada beliau akan menerima semula tawaran sebagai menteri besar sekiranya namanya dicalonkan oleh tiga parti berkenaan, Abdul Khalid menjawab.

“Tidak, saya sangat gembira dilepaskan daripada jawatan ini”. — Bernama

Advertisement