Anda di sini

Pemuda BN bidas DAP Pulau Pinang gagal uruskan Taman Botani

Advertisement

GEORGE TOWN: Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang semalam digesa supaya tidak menuntut untuk mengurus-kan Taman Negara di Teluk Bahang berikutan didakwa gagal menguruskan Taman Botani di Jalan Kebun Bunga di sini.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri Hng Chee Wey mendakwa penyelenggaraan dan pengurusan Taman Botani Pulau Pinang di bawah kerajaan negeri tidak dijalankan dengan baik.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan telah melabur lebih RM7 juta pada 2010 untuk menaik taraf Taman Botani Pulau Pinang namun keadaan produk pelancongan itu menjadi teruk dan kotor setelah pengurusan diserah kepada kerajaan negeri.

“Taman Botani kini dalam keadaan yang amat menyedih-kan dan sebagai warga Pulau Pinang saya berasa malu kerana ia telah memberi imej yang buruk kepada pelancong asing,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Taman Botani bersama-sama ketua-ketua pemuda parti komponen BN di sini semalam.

Hng berkata baru-baru ini Ketua Menteri Lim Guan Eng dilapor menuntut untuk menguruskan Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang selepas kejadian pesta sukan bogel.

“Jika Taman Botani pun tidak dapat diurus dengan baik, adakah kerajaan ne-geri mampu menguruskan Taman Negara Pulau Pinang yang telah disenaraikan sebagai taman yang ketujuh paling hijau di Asia oleh Agoda.com baru-baru ini,” katanya.

Hng berkata melalui pemantauan sebulan di Taman Botani, didapati banyak kemudahan yang rosak, pokok-pokok bunga yang layu dan papan tanda yang rosak tidak diperbaiki.

Dataran Teratai yang me-rupakan taman terapung yang terbesar di negara ini juga telah dicemari dan air kolamnya tidak sebersih dahulu, katanya sambil memberitahu bahawa tumbuhan seperti pokok teratai jenis Victoria Amazonica yang dibawa khas dari Madagascar ketika pembukaan Dataran itu kini kelihatan layu dan tidak dijaga.

Selain Dataran Teratai, Hng berkata kawasan se-perti rumah kaktus, tandas awam dan taman buluh juga kelihatan tidak terurus dan kotor. — Bernama

 

Advertisement