Anda di sini

Lima polis suspek kes jual kereta curi, dihantar ke N.Sembilan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lima anggota polis yang dipercayai cuba menjual kereta hasil samun daripada seorang warga Indonesia akan dihantar ke Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata berdasarkan semakan maklumat yang diperoleh, pihaknya mendapati kecurian kenderaan itu dilaporkan di negeri itu.

“Siasatan awal akan dijalankan di Kuala Lumpur…kita akan hantar kesemua suspek ke Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Zinin di sini semalam.

Media semalam melaporkan lima anggota polis ditahan selepas dipercayai cuba menjual sebuah kereta mewah yang disamun daripada seorang lelaki warga Indonesia, yang disyaki terbabit dalam jenayah pecah rumah dan curi kenderaan.

Anggota polis itu yang berusia lingkungan 20-an dan bertugas di Cawangan Khas serta Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ditangkap di tempat berasingan Ahad dan kelmarin.

Sementara itu, Tajuddin berkata kompleks baharu IPD Cheras berkeluasan 22,043 meter persegi itu dibina awal Disember 2010 dan siap sepenuhnya 31 Mac tahun lepas.

Tambahnya, bangunan setinggi tiga tingkat itu beroperasi sepenuhnya awal Januari lepas. — Bernama

Advertisement