Anda di sini

Khalid Samad mengaku tidak bersalah buat kenyataan menghasut berhubung MAIS

Advertisement

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mengaku tidak bersalah semalam terhadap pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jun lepas.

Khalid, 57, membuat pengakuan tidak bersalah itu di Mahkamah Sesyen di sini selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Dia didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut itu di kawasan lobi Parlimen pada jam 11.30 pagi, 17 Jun lepas mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000 atas alasan tertuduh memberi kerjasama dengan polis semasa siasatan kes itu.

Azwarnida membenarkan Khalid diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Sept untuk sebutan.

Khalid, yang juga Yang Dipertua PAS Cawangan Shah Alam, membayar wang jaminan itu. — Bernama

Advertisement