Anda di sini

Khalid Samad diludah dan dilempar kata-kata kesat

Advertisement

DIIKAT JAMIN: Khalid hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur, semalam terhadap pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jun lepas. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad diludah, disembur air, dilemparkan kata-kata kesat dan cuba ditampar oleh sekumpulan lelaki selepas beliau selesai membayar jaminan berkaitan kesnya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, Khalid bersama rakan-rakannya baharu keluar dari Kaunter Jamin di aras B1 menuju ke lobi pintu utama untuk ke tempat letak kereta.

Seorang saksi awam yang enggan dikenali berkata seorang lelaki dan sekumpulan rakannya yang dipercayai sudah lama menunggu di lobi berkenaan dilihat menghampiri Khalid sebelum menyembur air daripada mulutnya dan cuba menampar anggota Parlimen itu.

Kejadian tidak diduga itu menyebabkan Khalid terkejut dan menepis dengan tangan bagi mengelak daripada ditampar.

Saksi itu berkata rakan Khalid kemudian menghalang tindakan lelaki itu namun dia dilihat masih mengekori anggota Jawatankuasa PAS Pusat berkenaan sehingga ke tempat letak kereta.

Kumpulan lelaki itu juga dikatakan menjerit, “Kamu ingat Selangor ini kamu punya ke?” ke arah Khalid.

Mereka meninggalkan tempat kejadian selepas Khalid beredar.

Khalid semalam mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor, Jun lepas.

Khalid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun berkata tiada kecederaan fizikal berlaku.

Ahli politik itu berkata beliau akan merujuk kepada peguamnya sebelum mengambil sebarang tindakan, susulan kejadian itu. — Bernama

Advertisement