Anda di sini

BCF Edisi Ke-12 tinggalkan pelbagai kenangan manis

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus

BERAKHIR: Para tetamu kehormat yang diketuai Soon Koh bersama-sama menyaksikan pertunjukan bunga api.

EDISI ke-12 Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) yang berakhir pada malam Ahad telah meninggalkan pelbagai kenangan manis kepada para pengunjung.

Meskipun hujan renyai-renyai pada malam terakhirnya, ia masih membuatkan ramai pengunjung membanjiri Dataran Bandar Sibu Fasa I.

Majlis penutupan rasmi BCF disempurnakan Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh serta dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King berserta timbalannya Datuk Andrew Wong dan Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee.

Acara penutupannya dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang terdiri daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang, pelajar SMK Pakan, Etnik Revolution, Hornland Dance Theatre, Sri Swangsa, One Dance Studio, Swan City Breakers and Sibu Martial Art Association.

Kumpulan rock terkenal Iban, Masterpiece turut diundang untuk membuat persembahan mereka selain pasangan duet artis tempatan iaitu Ibrahim Omar dan Siti Azliyani Jasini.

Kumpulan Metadomus dari Indonesia dan Space Band Company dari Taiwan turut diundang khas bagi memeriahkan acara penutupan tersebut.

BCF yang telah bermula sejak 15 Ogos lalu telah berjaya menghimpunkan ratusan ribu pengunjung yang membanjiri Dataran Bandar Sibu Fasa I yang dimeriahkan dengan pentas Dayak, pentas Cina, pentas Melayu/Melanau dan pentas belia.

Pertunjukan bunga api adalah acara terakhir sebagai simbolik berakhirnya BCF.

PERSIAPAN: Penari Space Dance Company sedang membuat persiapan sebelum memulakan persembahannya.

TETAP ROCK: Vokalis Masterpiece, Depha mempersembahkan lagu ‘hits’ mereka iaitu ‘Kumang Seari’.

TANDA SOKONGAN: Para tetamu VIP tetap tidak berganjak walaupun hari hujan.

 

 

Advertisement