Anda di sini

10 NGO buat laporan polis siasat individu hina Sultan Selangor

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 badan bukan kerajaan (NGO) semalam membuat laporan polis di ibu pejabat polis berasingan terhadap individu yang didakwa menghina Sultan Selangor dalam laman sosial Facebook.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama-sama enam NGO iaitu Persatuan Veteran Tentera Melayu 1Malaysia(PVTM), Kelab Belia Angkatan Satria (KEBAS), Yayasan Patriot, Pejuang Warisan Melayu Islam Malaysia (PEWARIS), Persatuan Pemandu Bas Pelancong 1Malaysia (BASPEL) dan Sekretariat Sahabat NGO 1Malaysia, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini tengah hari semalam.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata perbuatan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Hu Long’ itu yang menghina institusi diraja jelas menggambarkan perbuatan tidak bertanggungjawab dan biadab.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan, institusi kesultanan Melayu harus dihormati semua pihak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis itu dengan diiringi kira-kira 20 anggota NGO itu.

Katanya, pihaknya meminta pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan tegas kepada individu terbabit, bagi membendung gejala yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Sementara itu, di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, tiga NGO iaitu Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) turut membuat laporan berhubung isu sama pada kira-kira pukul 11.58 pagi ini.

Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah menggesa pihak polis mengesan identiti individu berkenaan secepat mungkin dan mengambil tindakan tegas terhadapnya. — Bernama

Advertisement