Anda di sini

TBS berjaya kumpul pendapatan RM41 juta

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

Ia adalah hasil kutipan zakat, wakaf dan sedekah setakat Januari hingga penghujung Julai lalu

KUCHING: Setakat Januari hingga penghujung Julai lalu, Tabung Baitulmal Sarawak Sarawak (TBS) telah berjaya mengumpul pendapatan sehingga RM41 juta hasil kutipan zakat, wakaf dan sedekah.

Pengurus Besarnya Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM31 juta telah diagihkan kepada mereka yang layak di seluruh negeri ini.

“Syukur dan terima kasih kepada pelanggan khasnya pembayar zakat di seluruh negeri ini kerana memberi kepercayaan kepada TBS menerusi kesanggupan membayar zakat terutama melalui potongan gaji termasuk juga pemberi wakaf dan sedekah.

“Daripada dana yang kami kumpul ini, kami mengagihkannya kepada yang layak khasnya melalui tiga program utama TBS iaitu Program Memperkukuhkan Tradisi Keilmuan (PMTK), Program Memantapkan Kebajikan Ummah (PMKU) dan Program Membangunkan Institusi Islam (PMII),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Bersama Pelanggan TBS di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.

Justeru jelasnya, penganjuran majlis tersebut setiap tahun bagi menghargai pelanggan serta masyarakat termasuk pihak media yang telah banyak membantu TBS mencapai kejayaan seperti hari ini.

“Hari ini (semalam), kami jemput semua pelanggan kami tidak kira Muslim atau bukan bagi sama-sama memeriahkan majlis kami kerana daripada majlis seperti inilah wujudnya semangat kerjasama dan perpaduan.

“Justeru, kami berharap melalui aktiviti seperti ini semangat tersebut dapat diteruskan sampai bila-bila dan mampu meningkatkan lagi kecemerlangan dan kejayaan TBS pada masa akan datang,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Abang Shibli memberitahu bahawa TBS telah mengeluarkan Buku Direktori Saluran Bantuan Anda sebagai panduan dan rujukan kepada masyarakat.

“Buku ini boleh didapati di TBS dan antara agensi yang disenaraikan menyediakan bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pertanian Negeri, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Petronas, Shell Malaysia, MARDI, FAMA, RISDA, dan banyak lagi.

“Diharap buku ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada masyarakat dalam usaha memastikan golongan yang memerlukan mendapatkan hak yang sewajarnya,” terangnya.

Bercakap mengenai majlis tersebut jelasnya, selain dihiburkan oleh pemuzik dan penyanyi tempatan, tetamu yang hadir berpeluang menikmati pelbagai juadah raya seperti kek, biskut, lemang, ketupat, laksa Sarawak dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, Abang Shibli menambah, turut disediakan ialah gerai pameran dan maklumat TBS, khas bagi memberi informasi berkaitan bantuan dan sebagainya kepada tetamu yang hadir.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen.

Advertisement