Anda di sini

SEB bina jambatan RC di Long Wat

Advertisement

MURUM: Sarawak Energy Berhad (SEB) membina semula jambatan balak yang runtuh di Long Wat di sini, menggantikannya dengan jambatan RC.

Jambatan balak itu runtuh Jumaat lepas disebabkan tanah runtuh ekoran hujan lebat yang berlaku dua minggu lalu.

Menurut Pengurus Kanan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SEB Jiwari Abdullah: “Selepas menerima berita mengenai insiden itu, kami dengan segera mengarahkan kakitangan serta pegawai kami ke lokasi kejadian untuk memperbaiki jambatan balak yang rosak itu.

“Sarawak Energy kemudiannya mengambil keputusan membina segera jambatan pembetung RC menggantikan jambatan balak yang runtuh itu.

“Bahan-bahan dan jentera sudah berada di lokasi. Pembinaan akan bermula dalam waktu terdekat ini jika keadaan cuaca mengizinkan.

“Kalau tiada masalah, kerja-kerja pembinaan boleh siap dalam masa beberapa hari.

“Buat sementara waktu, kami telah membina jalan penghubung sementara yang sekurang-kurangnya dapat diakses oleh pejalan kaki dan motosikal,” katanya.

Menurutnya insiden itu telah menyebabkan beberapa penduduk dari kampung sekitarnya berasa bimbang dan sentiasa berkomunikasi dengan mereka mengenai tindakan diambil SEB untuk mengurangkan masala yang timbul akibat insiden itu.

SEB meletakkan keutamaan menyelesaikan masalah ini dan memberi jaminan aktiviti-aktiviti harian penduduk sekitar tidak terjejas dan kanak-kanak dapat memulakan persekolahan secepat mungkin.

Ketika ini hampir 300 kanak-kanak pergi ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tegulang dan SK Metalun diajar oleh 18 guru dari Jabatan Pendidikan.

Sekolah bermula awal tahun ini dan kemudahan-kemudahan akan diperkukuhkan lagi dengan pembinaan dewan serba guna untuk aktiviti sukan dan rekreasi.

Kerja-kerja pembinaan dewan serba guna akan bermula penghujung tahun ini dan dijangka siap pada pertengahan 2015.

SK Tegulang dan Metalun beroperasi seperti sekolah-sekolah lain di kawasan luar bandar dengan kelas-kelas pemulihan untuk kanak-kanak yang tidak pernah ke sekolah.

Menerusi Jawatankuasa Pembangunan Penan Murum (MPDC). SEB telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk kanak-kanak di situ ke sekolah.

Selain itu pelajar dibekalkan dengan pakaian seragam sekolah, kasut dan beg.

Advertisement