Anda di sini

Rakyat diminta pertahan nilai warisan dan kebudayaan

Advertisement

SIBU: Rakyat negeri ini diminta mempertahan nilai warisan dan kebudayaan mereka bagi memperkaya Sarawak dengan aspek kebudayaan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh.

Beliau berkata nilai-nilai seperti keharmonian, toleransi, muhibah dan mengamalkan sikap ‘memberi dan menerima’ antara satu sama lain dapat menjamin kemakmuran negeri ini.

“Hanya melalui hubungan harmoni itu kita dapatbersatu.

“Ketua Menteri kita telah menjelaskan bahawa unsur-unsur tidak diingini seperti pelampau agama, sosial dan perkauman diharamkan masuk ke Sarawak kerana kita tidak mahu mereka mempengaruhi kita secara negatif,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) Edisi Ke-12 di Dataran Bandar Sibu Fasa I, malam kelmarin.

Wong berkata jika perkara itu berlaku segala keharmonian akan musnah serta membentuk perasaan bermusuhan dan rusuhan yang boleh membawa kepada gangguan sosial dan keadaan huru-hara dalam masyarakat.

Beliau berkata BCF adalah satu perhimpunan yang dapat menyatukan semua masyarakat Sibu, membawa rasa kekitaan dan perpaduan.

“BCF adalah perayaan kita. Sibu adalah bandar kita. Ia adalah penting untuk kita membolehkan BCF berjaya.

“Jika BCF berjaya, rakyat berbangga dengannya dan begitu juga dalam semua perkara yang kita lakukan untuk bandar kita dan memastikan kita dapat melakukannya bersama demi kebaikan.

“Ini terpulang kepada kita untuk bekerja bersama-sama mengubah Sibu menjadi sebuah bandar yang kita semua boleh banggakan bukan sahaja untuk kita tetapi untuk anak-anak dan cucu kita,” tegasnya.

Wong berkata BCF diadakan sejak 15 Ogos lalu berupaya membentuk dan mendidik semua rakyat Sarawak memastikan mempunyai semangat perayaan dan bekerja bersama-sama.

Beliau kemudian memuji kerjasama sektor awam, swasta dan individu yang menjayakan penganjuran BCF.

Hadir sama Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King serta Timbalannya Datuk Andrew Wong dan Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee.

Advertisement