Anda di sini

Rai kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik

Advertisement

Oleh Saleman Senin //

‘MALAYSIA… Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’ merupakan tema sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-57 dan perlu disambut dengan penuh semangat patriotik oleh setiap warga yang cintakan keamanan.

Kehangatan sambutan kini sudah terasa apabila seluruh negara secara serentak melancarkan program Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang pada tarikh 18 Ogos bagi memulakan sambutan kemerdekaan dan mengingatkan kita sejarah kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Tarikh keramat itu merupakan titik tolak bermulanya sejarah kemerdekaan Tanah Malaya oleh British yang memerintah ketika itu.

Namun, negeri Sarawak cuma selepas enam tahun baharulah mereka menyambut kemerdekaan iaitu pada tanggal 22 Julai 1963.

Seterusnya negeri Sabah yang merdeka pada tanggal 16 September 1963 terus bergabung dengan Sarawak dan Tanah Malaya untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

Menurut Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel, sambutan Bulan Kemerdekaan kali ini diharap dapat mencerminkan impian dan harapan serta semangat cintakan negara yang tidak berbelah bahagi rakyat terdahulu dan menjadi pedoman kepada generasi muda.

Katanya, meskipun negara dikejutkan dengan pelbagai insiden getir yang melibatkan serangan pengganas di Sabah, peristiwa MH370 dan MH17 yang mengakibatkan banyak nyawa terkorban namun, negara masih aman dan kini semakin matang di bawah kepimpinan yang mantap, berinovasi serta berwawasan yang boleh disaksikan menerusi pembangunan, kecemerlangan dan kemakmuran yang dikecapi secara berterusan.

“Saya menyeru agar kita semua sebagai rakyat Malaysia sentiasa bersatu padu dan menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam diri kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Bahagian Betong 2014 di Dataran Medan di Betong, baru-baru ini.

Lebih 40 kontinjen yang merangkumi lebih 200 orang peserta menyertai pelancaran tersebut yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, jabatan dan NGO.

Turut diadakan ialah upacara simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil kaum dan etnik oleh Residen kepada ketua kaum masing-masing, nyanyian lagu Negaraku dan upacara menaikkan Jalur Gemilang.

Sejurus selepas itu, acara perarakan Jalur Gemilang bersama kontinjen yang mengambil bahagian mengambil tempat dan selepas perarakan, acara tiket bertuah diadakan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Residen Pembangunan Bahagian Betong Pathi Kerni, Timbalan Residen Sosial Bahagian Betong Galong Luang, Pegawai Daerah Betong Friday Belik, ketua-ketua jabatan, agensi serta ketua-ketua masyarakat dan kaum.

Advertisement