Anda di sini

Martabat pendidikan Melayu harus seimbang kecemerlangan akademik

Advertisement

KUCHING: Usaha memartabatkan pendidikan anak Melayu di negeri ini harus mengutamakan keseimbangan di antara kecemerlangan pendidikan akademik dan kemahiran teknikal.

Menurut Pengerusi Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GPMM) Cawangan Sarawak Datuk Fadillah Yusof, kedua-dua teras kecemerlangan tersebut memainkan peranan penting terutama bagi memacu ke arah kejayaan negara secara amnya dan Sarawak khususnya menjelang Wawasan 2020.

“Kita memberi keutamaan kepada kecemerlangan anak Melayu Islam di negeri ini, tidak hanya dalam aspek pendidikan, malah juga dalam aspek kemahiran teknikal yang dikuasai.

“Kita mahu apabila menjelang tahun 2020 nanti, kita berjaya melahirkan anak Melayu yang berjaya selain mendukung semangat daya tahan, daya saing, kreativiti serta bersedia dalam sebarang aspek kehidupan terutama untuk menghadapi dunia moden tanpa sempadan dan cabaran persaingan yang wujud dalam dunia pekerjaan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya menjelaskan, ia sekali gus merangkumi persediaan anak melayu sebagai wakil Bumiputera untuk menceburi bidang pasaran perniagaan semasa.

Tambah beliau lagi, gagasan tersebut ditubuhkan bagi menimbang sumbangan atau sokongan yang perlu untuk membantu anak Melayu memperluaskan pendidikan dan kemahiran teknikal sedia ada.

“Kami mahu mengembangkan peranan gagasan sebagai satu gabungan yang menghimpunkan agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta warga pendidik Bumiputera dalam memastikan pendidikan anak-anak Melayu diperkasakan,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri GPMM Cawangan Sarawak di Hotel Merdeka Palace di sini, malam kelmarin.

Advertisement