Anda di sini

Jong mini warisan era lombong emas Bau

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

UNIK: Nansian bersama peserta lumba jong merakam gambar kenangan semasa Majlis Perasmian Pesta Tasik Biru 2014 di Bau, baru-baru ini.

PERLUMBAAN perahu layar mini dengan reka bentuk perahu Cina, yang lebih lebih dikenali sebagai ‘jong’ bagi masyarakat tempatan bukanlah satu acara asing lagi bagi penduduk di Bau.

Ini kerana acara sukan air tradisional yang telah mula dianjurkan sejak era kolonial British itu mempunyai sejarah dan keunikannya tersendiri.

Pegawai Daerah Bau Inting Nyami berkata, istilah ‘jong’ berasal daripada reka bentuk perahu Cina yang mana perlumbaannya bergantung sepenuhnya kepada kuasa angin.

Jelasnya, perlumbaan jong itu berkait rapat dengan budaya masyarakat Cina yang berhijrah dari China ke Daerah Bau dengan menggunakan perahu layar untuk bekerja sebagai pelombong emas sejak abad ke-18.

“Kali pertama perlumbaan jong diadakan di daerah ini adalah pada 8 Ogos 1950 oleh Pejabat Daerah Bau yang diketuai oleh Pegawai Daerah pada masa itu iaitu A.J.N Richard.

“Sejak itu, acara yang diberi nama Regata Jong Bau itu dianjurkan tiga tahun berturut-turut di bawah naungan beliau,” katanya kepada pemberita semasa Pesta Tasik Biru 2014 di Bau, baru-baru ini.

Menurutnya, tapak regata iaitu Tasik Biru merupakan bekas lom-bong emas yang dibanjiri air pada tahun 1921.

“Selain pada tahun 1950, 1951 dan 1952, regata tersebut pernah diadakan pada 31 Ogos 1986, 28 hingga 29 Ogos 1988, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

“Pada 2013, regata ini telah diadakan selama dua hari berturut-turut pada 24 dan 25 Oktober dengan nama Pesta Jong,” katanya.

“Pada tahun ini, Pesta Jong telah dijenamakan semula kepada Pesta Tasik Biru dengan harapan pelbagai acara sukan air dan aktiviti lain dapat dianjurkan,” jelasnya.

Terdapat beberapa jenis jong yang dipertandingkan semasa Pesta Tasik Biru iaitu Jong Skunar, Jong Bandung, Jong Barong, Jong Skuci dan Jong Kotak.

BERWARNA-WARNI: Peserta lumba jong bersedia untuk melayarkan jong masing-masing di Tasik Biru.

DIWARISI ANAK

Menurut salah seorang tukang pembuat jong yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Amat, perbezaan jong tersebut adalah pada reka bentuk dan layarnya.

Mempunyai pengalaman dalam pembuatan jong lebih 20 tahun, Pak Amat memberitahu, jong jenis Skunar merupakan jong paling sukar dibuat.

“Jong Skunar memiliki layar yang banyak dan kemahiran diperlukan bagi memastikannya dapat belayar dengan betul semasa berada di air.

“Sekiranya layar yang dipasang tidak betul, jong berkemungkinan akan karam ataupun tidak belayar dengan betul,” jelasnya.

Jelas beliau, perlumbaan biasanya melibatkan 10 hingga 20 peserta diadakan dengan melepaskan jong menuju ke garisan penamat.

“Sebuah jong yang dibina dan dipasang dengan layar yang baik mampu mencapai kelajuan sehingga 40 kilometer sejam,” kataya ia turut dipengaruhi oleh kekuatan angin.

Sepanjang penglibatannya dalam permainan tradisional itu, beliau pernah menjuarai pertandingan yang diadakan di beberapa lokasi di negeri ini seperti di Serian.

Selain bertanding, beliau juga pernah dijemput oleh agensi kraf tangan dan pelancongan untuk mempamerkan jong hasil tangannya kepada orang ramai.

Berikutan usianya yang semakin meningkat, Pak Amat mejelaskan, seni pembuatan jongya kini telah diturunkan kepada anak-anaknya.

“Sekarang saya jadi pemerhati sahaja dan pada Pesta Tasik Biru tahun ini anak-anak saya pula yang bertanding.

“Saya gembira kerana mereka mempunyai minat untuk mempelajari teknik dan cara membina jong ini daripada saya,” katanya.

Selain perlumbaan jong, acara air Pesta Tasik Biru 2014 dimeriahkan dengan lumba kayuh rakit, kayuh batang balak serta kayak.

Hadir merasmikan acara pembukaan Pesta Tasik Biru 2014 ialah Menteri Muda Khidmat Masyarakat dan Menteri Muda (Pembangunan Estet Perindustrian) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie.

Advertisement