Anda di sini

Formula BN-Plus bermakna UPP sebahagian BN: Wong

Advertisement

Oleh Patricia Gari //

Kenyataan Adenan mahu teruskan formula BN-Plus sehingga PRN akan datang adalah buktinya

WONG SOON KOH

KUCHING: Pengasas Parti Rakyat Bersatu (UPP) Dato Sri Wong Soon Koh berkata kenyataan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) Sarawak akan meneruskan formula BN-Plus membawa makna UPP merupakan sebahagian daripada BN.

“Ketika UPP ditubuhkan, kami tahu pendirian Ketua Menteri (mengenai kedudukan UPP), sebab itu tidak pernah timbul perbalahan mengenai isu sama ada UPP berpihak kepada BN atau sebaliknya.

“Kami adalah sebahagian daripada BN. Pemimpin-pemimpin kami (dalam UPP) masih berkhidmat dalam kabinet, memainkan peranan masing-masing dan masih dilayan seperti pemimpin BN yang lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat menambah, kenyataan Ketua Menteri baru-baru ini menunjukkan beliau mengambil berat terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Oleh itu ujarnya daripada menimbulkan kontroversi, UPP berpendapat adalah lebih baik mengikut kepimpinan Ketua Menteri yang memfokus kepada usaha memenangi sokongan rakyat serta mendapatkan semula kepercayaan daripada komuniti Cina di negeri ini.

“UPP akan terus bersama BN dan akan mengikut sepenuhnya kepimpinan Ketua Menteri,” tegasnya.

Ahad lepas Adenan dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti itu.

“Saya akan meneruskan dengan formula BN-Plus sehingga Pilihan Raya Negeri akan datang iaitu sebelum Jun 2016,” kata Adenan.

Terdahulu dalam mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam setengah itu, Adenan memberitahu bahawa antara perkara yang dibincangkan adalah isu-isu berkaitan PRN akan datang.

“Kami bekerja dengan strategi yang berbeza untuk Pilihan Raya Negeri akan datang serta membincangkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh rakyat.

“Kami juga menyentuh bagaimana untuk berurusan dengan perbezaan dalam sebahagian parti komponen kami yang terdiri daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP),” ujar Adenan.

Advertisement