Anda di sini

Bina lebih banyak sekolah vokasional

Advertisement

Oleh Andy Sabang //

Ia sejajar dengan penekanan serius kerajaan terhadap pendidikan teknikal: STU

SIBU: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menggesa supaya lebih banyak sekolah vokasional dibina sejajar dengan penekanan serius kerajaan terhadap pendidikan teknikal.

Presidennya Jisin Nyud berkata ini sangat perlu untuk melatih pelajar untuk kemahiran tertentu di samping menyediakan mereka ke arah dunia pekerjaan sebenar.

“Hanya seorang yang pakar dalam bidang tertentu berpeluang mendapatkan pekerjaan yang baik.

“Institut latihan pendidikan vokasional memberi pengetahuan khusus dan praktikal kepada pelajar selain membantu mereka berdikari,” katanya ketika diminta mengulas laporan Bernama menyatakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu dalam era globalisasi dan k-ekonomi, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) tidak lagi dianggap sebagai pilihan kedua tetapi perlu dilihat sebagai pilihan pertama pelajar.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dilaporkan berkata, bidang teknikal dan vokasional mempunyai prospek lebih baik untuk dipasarkan selepas tamat pengajian mereka.

Selain itu, Muhyiddin merupakan individu penting yang mencadangkan dan menggalakkan pelajar yang menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Setaraf meneruskan pengajian mereka dalam bidang TEVT di Universiti Teknikal dan tiga Perdana Politeknik.

Menurut Jisin, STU menyokong cadangan TPM menggalakkan pelajar yang tamat SPM mengambil TEVT.

“Pendidikan teknikal dan latihan vokasional akan membantu negara kita memenuhi permintaan diperlukan abad ini.

“Daripada aspek ekonomi, dunia sedang berubah ke ekonomi berasaskan pengetahuan dan memerlukan seorang individu yang khusus dalam kemahiran tertentu,” katanya.

Justeru, sudah tiba masanya bagi pelajar serius dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional.

Jisin menekankan keperluan membetulkan tanggapan mengenai pendidikan vokasional dikhaskan kepada pelajar tercicir.

“Kami gembira bahawa kerajaan menambah bilangan dan juga akan menaik taraf infrastruktur sedia ada,” katanya.

Advertisement