Anda di sini

Tinggan Madang juara Tarian Datun Julut

Advertisement

Oleh W. Bolly Ongie

MENGHIBURKAN: Penyanyi popular Rosiana Urai ketika menyanyikan lagu ‘Sungai Telang Usan’ sambil para tetamu kenamaan memberi sokongan dengan menari bersama di atas pentas.

PERSEMBAHAN yang mempersonakan daripada kumpulan penari yang menamakan diri mereka Tinggan Madang dari Tutoh-Apoh, berjaya menjuarai pertandingan Tarian Datun Julut yang diadakan sempena Pesta Regatta Baram Ke-115 kali yang diadakan di Kompleks Sukan Marudi baru-baru ini.

Kumpulan tersebut turut membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala dan sijil, yang disampaikan oleh Senator Datuk Lihan Jok, yang turut menyempurnakan perasmian pertandingan tersebut.

Sementara naib johan jatuh kepada Ida Pela Group dari Belaga yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,600, piala serta sijil dan tempat ketiga jatuh kepada kumpulan Kabar Tengah Baram yang turut memenangi hadiah wang tunai RM1,200, piala dan sijil.

Manakala lapan buah kumpulan yang turut serta dalam pertandingan tersebut menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai RM500 masing-masingnya, serta sijil.

Kesemua kumpulan yang memenangi hadiah sagu hati berkenaan ialah kumpulan penari Dayak Girl; Ladies of Hornbill; 1Baram Team; Badang Sungai Asap Belaga; Kumpulan Becam Becam; Bicu Berawan; PKS Bungan Liso dan Lepo Gak Dekan.

MENARIK: Antara persembahan menarik oleh kumpulan yang mengambil bahagian dalam pertandingan Datun Julut sempena Pesta Regatta Baram di Marudi.

Manakala bagi pertandingan sape pula, tempat pertama dimenangi oleh Kumpulan ‘The Mekabar Generation’ yang turut memenangi hadiah wang tunai RM1,500,

piala dan sijil, sementara naib juara ialah pasukan Lalim Belaga yang memenangi hadiah wang tunai RM1,300, piala dan sijil.

Tempat ketiga jatuh kepada kumpulan Usun Apau yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala dan sijil dan dua lagi pemenang sagu hati, masing-masingnya membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan sijil.

Terdahulu, semasa merasmikan pertandingan tersebut Senator Lihan dalam ucapannya merayu pelbagai kumpulan etnik di daerah ini supaya mengekalkan kemakmuran dan sentiasa bekerjasama di antara satu sama lain.

Ini kerana menurut beliau kestabilan yang utuh dan perpaduan di kalangan rakyat di Baram juga yang telah dan akan menentukan kecemerlangan dan pembangunan yang dicapai di Baram.

“Kita di Sarawak boleh mendapat kemakmuran dalam tempoh lebih 50 tahun selepas merdeka dalam Malaysia.

Kemerdekaan adalah peluang bagi semua suku kaum yang ada di sini untuk berkembang dengan maju dan membangun dari sehari ke sehari.

“Malah kita di Sarawak, juga amat bertuah kerana mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan bangsa serta memiliki kepelbagaian budaya,” tambahnya.

Sehubungan itu dalam perkembangan yang sama, Lihan menasihatkan masyarakat Orang Ulu di sini supaya sentiasa mengekalkan dan memartabatkan budaya mereka yang indah itu, agar ia dikenali di seluruh dunia sebagai identiti dan budaya Orang Ulu di negeri ini.

Malah katanya, muzik sape dan tarian panjang Orang Ulu, Datun Julut, adalah antara contoh terbaik yang menyaksikan budaya Orang Ulu amat disanjung dan dihormati oleh masyarakat yang lain kerana keindahan seninya.

Oleh yang demikian juga Lihan mahu generasi muda Orang Ulu supaya mengekalkan budaya tersebut dan menyemainya dalam diri mereka untuk dipelajari agar tidak pupus suatu hari kelak dan pada masa yang sama mereka dinasihatkan supaya tidak malu untuk mengakui diri mereka adalah Orang Ulu, yang terkenal dengan budaya sape dan tarian Datun Julut.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Anyi Ngau yang juga pengerusi Malam Kebudayaan 1Malaysia, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Pegawai Daerah Marudi Mackos Sibong, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Robert Laing Anyie dan Richard Wil Uban.

Advertisement