DUNGUN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam menziarahi bekas Editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ali Mamat, yang kini terlantar akibat penyakit barah hati kronik, di kediamannya di sini.
Ahmad Shabery berkata walaupun secara rasminya Ali, 63, tidak lagi bertugas dengan Bernama, tetapi beliau percaya seseorang wartawan itu tetap menjadi wartawan buat selama-lamanya, berikutan caranya berfikir dan melihat pada sesuatu perspektif,
“Saya sukacita apabila melihat beliau sebagai seorang wartawan yang aktif, bukan saja dalam dunia kewartawanannya, tetapi telah membuat liputan merentasi sempadan negara di serata dunia dan sering membawa buah fikiran yang diperoleh itu untuk dikembangkan di daerahnya,” katanya.
Ahmad Shabery, yang diiringi Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Biro Bernama Terengganu Amrizan Madian, terkejut dan melahirkan rasa kagum apabila melihat tulisan yang dilakarkan Ali pada dinding kamarnya yang dianggap berkonsepkan ‘Writing On The Wall’.
“Ali mencatatkan di dinding kamarnya dengan konsep ‘Writing On The Wall’, sebagai sebahagian daripada diarinya yang berkisar tentang hobi memancing misalnya, yang menjadi bahan ingatan kepada beliau dan keluarganya sampai bila-bila.
“Itulah konsep Wall (sebagaimana wall di Facebook) untuk menyatakan status mengenai alam, mengenai pasang surut air, kehidupan ikan dan sebagainya yang begitu bermakna sekali,” katanya.
Sementara itu isteri pertama Ali, Maimun Yahaya, 55, berkata sejak tiga empat hari kebelakangan ini suaminya itu semakin lemah dan kurang bercakap.
“Beliau (Ali) sudah tidak mampu lagi bercakap dan mengurus dirinya dan semua pergerakan dan keperluannya dibantu keluarga,” kata Maimun, yang turut ditemani madunya, Aini Abdullah, 40.
Selepas bersara daripada perkhidmatannya pada Februari 2007, Ali berpindah ke kampung halamannya di sini.
Ali yang menghidap pelbagai penyakit seperti barah hati, darah tinggi, kencing manis dan pendarahan kecil pada otaknya, sering mendapatkan rawatan di Hospital Dungun dan Hospital Sultanah Nur Zahirah. — Bernama