Anda di sini

Malaysia, Australia akan meterai MoU bagi misi cari MH370

Advertisement

MH370 kekal diutamakan dan kerajaan teruskan pencarian

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Australia akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama mereka dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau akan berada di Australia bermula hari ini untuk menghadiri beberapa mesyuarat, diikuti dengan mesyuarat tiga pihak bersama-sama Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss, dan juga rakan sejawatannya dari China.

Dalam kenyataan di sini semalam, beliau mengulangi janji kerajaan untuk meneruskan misi mencari pesawat MH370 yang hilang daripada imbasan radar pada awal pagi 8 Mac semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur.

“Ketika kami berusaha keras untuk keluarga mangsa MH17, saya juga ingin memberi jaminan kepada waris penumpang (dan anak kapal) MH370 yang kami tetap berpegang pada janji kami untuk meneruskan misi mencari pesawat ini.

“Saya ulangi bahawa MH370 kekal menjadi keutamaan kami dan kerajaan Malaysia akan meneruskan pencarian ini,” katanya.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi, yang menjadi kawasan tumpuan misi mencari ketika ini, selepas operasi serupa di Laut China Selatan dan Laut Andaman gagal menemukan sebarang objek yang ada kaitan dengan pesawat itu.

Sementara itu, Liow sekali lagi mengucapkan simpati dan takziah kepada waris dan anggota keluarga mangsa MH17.

Sebanyak 23 daripada 43 mangsa warga Malaysia yang terkorban dalam nahas itu telah dibawa pulang ke tanah air dari Belanda setakat ini, dengan kumpulan ketiga jenazah mangsa dijangka tiba di tanah air pada 30 Ogos.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine. — Bernama

Advertisement