Anda di sini

Abu mendiang pensyarah UMS disimpan di Pusat Xiao En Bereavement Cheras

Advertisement

KUALA LUMPUR: Abu mendiang pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ng Shi Ing, mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang dibawa pulang ke tanah air semalam, disimpan di Pusat Xiao En Bereavement di Cheras.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Pemasaran Pusat Xiao En, Sally Tan berkata, abu mendiang Ng akan disimpan bersama-sama abu adik perempuannya Elisabeth Ng Lyeti yang tiba pada Jumaat lepas, sehingga jenazah anak Ng iaitu Benjamin Lee Jian Han yang berumur satu tahun dibawa pulang ke tanah air.

“Keluarga mangsa memaklumkan kepada pihak kami bahawa ketiga-tiga (abu atau mayat itu) kelak berkemungkinan akan dihantar pulang ke Muar, Johor selepas upacara keagamaan yang dijalankan di sini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu kendi yang berisi abu mendiang Ng tiba di pusat berkenaan jam 9.41 pagi, dan dibawa sendiri oleh suaminya Lt Komander Lee Vee Weng, pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Kota Kinabalu.

Kendi abu mendiang Ng yang dibaluti bendera Malaysia itu kemudiannya diiringi dua orang sami Buddha sambil dibacakan mantera mengikut adat dan kepercayaan agama itu.

Kira-kira 10 orang anggota keluarga dan sahabat handai hadir, manakala 50 kakitangan pusat berkenaan dan sukarelawan Young Buddist Association (YBAM) turut memberi penghormatan dengan berbaris di sepanjang laluan menghala ke tempat penyimpanan abu. — Bernama

Ng yang merupakan pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan Jurusan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), UMS menghadiri persidangan di University of Antwerp, Belgium untuk membentangkan kertas kerja sebelum dijadualkan pulang bersama-sama adik dan anaknya dengan menaiki pesawat malang itu.

Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah mangsa MH17 iaitu 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas.

Semalam, kumpulan kedua melibatkan tiga mangsa tragedi dengan dua daripadanya termasuk mendiang Ng diberi penghormatan dalam istiadat ringkas namun penuh penghormatan.

Satu jenazah yang dibawa balik semalam tidak mengikuti istiadat penghormatan atas permintaan keluarga yang mahukan privasi.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine. — Bernama

Advertisement