Anda di sini

Siasat kes pelajar ditumbuk guru

Advertisement

Kejadian tidak harus berlaku, selesai secara baik dan elak berulang

Oleh Mastura Ismail //

LIMBANG: Jabatan Pendidikan diminta menjalankan siasatan secara menyeluruh insiden seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di sini didakwa ditumbuk seorang guru sekolah sama dalam kejadian Rabu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata, siasatan itu perlu dilakukan membabitkan kedua-dua pihak iaitu pelajar dan guru berkenaan.

Beliau yang kecewa dengan insiden itu berkata, kejadian itu tidak harus berlaku kerana tugas seorang guru adalah mendidik dan mengajar dan bukannya bertindak di luar batasan sehingga mendatangkan kecederaan.

“Jika betul perkara ini berlaku sesuatu yang mengecewakan. Tugas guru mengajar dan bukan melakukan perkara-perkara sedemikiaan (menumbuk) meskipun pelajar melakukan kesalahan dan perlu diselesaikan secara berdiplomasi,” katanya ditemui pada Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Patiambun di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Annuar Naim, Pengetua SMK Seri Patiambun Ahmad Melan, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Imban Geruna dan tetamu.

Awal pagi Rabu lalu, seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di sini mendapat kecederaan di bahagian mata kirinya dipercayai ditumbuk seorang guru lelaki sekolah sama dalam kejadian berlaku jam 8.15 pagi.

Mangsa, 14, dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa ada menegur guru terbabit yang dikatakan sedang mencekik rakannya kerana mempersendakan guru berkenaan di dalam kelas.

“Suspek yang berang dengan teguran itu kemudiannya menumbuk mangsa terbabit,” katanya.

Dr Abdul Rahman berkata, isu berkenaan perlu diselesaikan secara baik dan elak berulang pada masa hadapan.

Mengulas mengenai judi siber yang hangat diperkatakan di sini sekarang, beliau mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis bekerjasama membanteras kegiatan haram itu berleluasa.

Katanya, masalah judi siber amat menjejaskan dan memporak-perandakan institusi keluarga.

“Kita mahu banyak lagi tangkapan dilakukan secara berterusan.

“Jika didapati aktiviti ini dilakukan secara haram, bekalan elektrik dan air boleh diputuskan di premis berkenaan seperti yang dilakukan di bandar raya Kuching yang perlu dilaksanakan bersama PBT dan polis,” katanya.

Jelasnya, aktiviti haram berkenaan boleh menjejaskan keharmonian dan sebarang tindakan perlu dilakukan bagi menanganinya sehingga ke akar umbi.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan geran kerajaan kepada SMK Seri Patiambun bernilai RM35,000.

Advertisement