Anda di sini

Pemuda BN Sarawak akan kekal empat, tegas Fadillah

Advertisement

KUCHING: Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak akan menerima komponen pemuda dari parti lain melainkan empat parti komponen BN yang sedia ada.

Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Fadillah Yusuf menegaskan, BN Sarawak di peringkat Pemuda terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

“Inilah komponen Pemuda BN Sarawak, terdiri daripada empat parti komponen sedia ada iaitu PBB, SUPP, PRS dan SPDP dan ia akan kekal seperti ini.

“Bagi mereka yang telah keluar dari komponen, kita kena terima hakikat tetapi kepimpinan yang ada ketika ini perlu memastikan bukan sahaja keahlian dikekalkan, malah semakin bertambah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Tertinggi Pemuda PBB dan BN Negeri di sebuah hotel di sini semalam.

Fadillah yang juga Ketua Pemuda PBB juga tidak menafikan bahawa Pemuda BN Negeri sedikit terjejas susulan penubuhan dua parti baharu iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Bagaimanapun, katanya, ia tidak melumpuhkan jentera Pemuda, malah menguatkan lagi semangat jentera untuk bekerja dengan lebih gigih.

“Sekarang kita kena atur gerakan untuk memastikan sokongan kepada BN tidak terjejas dan menguatkan empat komponen yang ada ini,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, jentera Pemuda BN negeri akan mengadakan satu sesi perjumpaan melibatkan kepimpinan tertinggi dari semua komponen Pemuda BN, awal September depan di Miri.

Perjumpaan tersebut, menurut Fadillah, adalah bagi membincangkan isu berhubung kait dengan kepentingan pemuda dan belia Sarawak.

“Hasil perjumpaan itu nanti jentera Pemuda BN turut mempunyai perancangan untuk mengadakan perhimpunan melibatkan Pemuda BN di peringkat kebangsaan pada awal tahun depan.

“Cadangan awalnya juga di Miri yang mana akan menghimpunkan semua komponen BN di seluruh negara untuk melihat bagaimana isu melibatkan pemuda dapat diselesaikan dan ditangani sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan,” ujarnya.

Advertisement