Anda di sini

Tiga lagi jenazah mungkin dibawa pulang esok: Liow

Advertisement

TIBA: Anggota tentera mengusung keranda jenazah pada Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Tiga lagi jenazah warganegara Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 mungkin dibawa pulang ke tanah air Ahad ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata setakat ini hanya dua jenazah telah mendapat pelepasan pulang manakala satu lagi masih menunggu pengesahan pihak berkuasa Belanda.

“Ketika ini disahkan dua mayat, satu Islam dan satu lagi bukan Islam.

Diharapkan tiga mayat itu akan tiba pagi Ahad ini, tetapi akan disahkan esok (hari ini).

“Jenazah satu lagi masih kena diselesaikan pendokumentasi dan harap dipercepatkan supaya boleh dibawa balik Ahad ini,” katanya pada sidang media di Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi dekat sini semalam.

Turut hadir pada sidang media itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J.Loga Bala Mohan.

Liow berkata senarai nama penumpang dan maklumat lanjut berhubung penghantaran pulang jenazah tersebut akan diumumkan kepada media hari ini.

Beliau berkata kerajaan tidak pernah melewat-lewatkan urusan membawa pulang jenazah mangsa nahas MH17 namun proses pelepasan perlu melalui pelbagai peringkat dan mengambil masa.

Liow berkata ini kerana pelbagai ujian padanan, DNA dan bedah siasat perlu dilakukan sebelum mayat mangsa diserahkan bagi tujuan pengurusan jenazah serta proses penghantaran pulang ke tanah air.

Selepas sidang media itu, Liow turut meluangkan masa memberikan penghormatan terakhir kepada empat jenazah bukan Islam mangsa nahas MH17 yang melalui upacara keagamaan di Pusat Peringatan Nirvana, Sungai Besi.

Empat jenazah itu ialah Foo Ming Lee, Ng Qing Zheng dan pasangan suami isteri Mabel Anthony Samy dan Paul Rajasingam Sivagnanam. — Bernama

Advertisement