Anda di sini

Suasana pilu di Medan Niaga Satok, DBKU

Advertisement

KAMI TURUT BERSEDIH: Pelaksanaan tafakur selama satu minit semalam yang dihadiri masyarakat berbilang kaum di Medan Niaga Satok.

Peniaga, pelanggan serta warga kerja bertafakur menghormati jenazah tragedi MH17

KUCHING: Suasana suram menyelubungi lobi utama Medan Niaga Satok apabila orang ramai berkumpul di kawasan tersebut bertafakur seminit bagi menghormati jenazah-jenazah tragedi MH17 yang disemadikan semalam.

Dianggarkan hampir 500 orang terdiri daripada penjaja serta pelanggan membanjiri kawasan yang dipilih sebagai antara tempat bertafakur di seluruh negara dengan berpakaian serba hitam dan gelap seawal jam 10 pagi.

Upacara tafakur itu menampakkan raut kesedihan di wajah orang ramai yang mengikuti bacaan Al-Fatihah bagi masyarakat Islam serta berdoa mengikut anutan dan kepercayaan masing-masing bagi yang beragama bukan Islam.

Tafakur seminit itu disertai Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Paza Dan dan Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Zaini Mohamad.

Menurut peniaga gerai hasil hutan Muri Nyandang, 36, upacara tafakur itu adalah usaha baik yang turut memperlihatkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Meskipun mangsa nahas pesawat MH17 yang dijumpai itu adalah beragama Islam, saya dapat melihat perpaduan berbilang kaum yang ditunjukkan rakyat negeri ini melalui upacara tafakur sebentar tadi.

“Selain menjadi upacara menghormati mangsa nahas yang menyedihkan, ia juga akan menjadi ingatan buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas pelaksanaan upacara tafakur selama satu minit pada jam 11 pagi itu.

Sementara itu, bagi Anuar Bakar, 43 pula, dia turut berkongsi kesedihan di atas tragedi pesawat itu, lebihlebih lagi ada di antara mereka merupakan penumpang dari Kuching.

“Upacara tafakur selama satu minit ini benar-benar memberi impak kepada kami semua sebagai rakyat Sarawak, khususnya.

“Kami juga ingin berkongsi kesedihan dengan ahli keluarga mangsa dan berharap agar upacara seumpama ini dapat menyatupadukan kami masyarakat di sini tanpa mengira bangsa mahupun agama yang dianuti melalui satu perjalanan doa yang ikhlas,” katanya.

Suasana serupa menyelubungi warga kerja Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang menzahirkan simpati mereka dalam Majlis Mengenang MH17 yang berlangsung di Ibu Pejabat DBKU semalam.

Selain mengenakan pakaian gelap dan serba hitam sebagai tanda berkabung, deklamasi sajak, upacara penurunan bendera separuh tiang dan bertafakur selama seminit turut diadakan.

Malah, ada antara warga kerja DBKU mengalirkan air mata ketika bertafakur seminit berlangsung.

Menurut Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, majlis tersebut diadakan untuk menunjukkan rasa kesedihan warga kerja DBKU terhadap mangsa yang terkorban.

“Kita amat bersimpati dengan nasib yang menimpa kesemua penumpang,” katanya kepada pemberita semalam.

Majlis Mengenang MH17 diadakan, katanya, bukanlah disebabkan arahan daripada kerajaan sebaliknya ia merupakan inisiatif sendiri pihaknya sebagai menghormati Hari Perkabungan Negara.

“Kita buat majlis ini untuk menzahirkan perasaan kita. Ini merupakan peluang terbaik kepada kita untuk menunjukkan rasa simpati kepada masyarakat.

“Kita sebenarnya mengambil berat hal ehwal masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Lembaga DBKU Datuk Wee Hong Seng berkata, semua orang akan berasa sedih dengan nasib yang menimpa penumpang MH17.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu terus bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain.

“Ini merupakan masa untuk menunjukkan rasa simpati dan kita mengutuk tindakan yang dilakukan pihak yang menembak jatuh pesawat ini,” jelasnya.

Kira-kira 500 kakitangan DBKU terlibat dengan Majlis Mengenang MH17 yang diadakan selama sejam.

Daripada 43 mangsa nahas pesawat MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai lepas, tujuh merupakan warga Sarawak.

Dua jenazah yang dikebumikan semalam di Tanah Perkuburan Semariang ialah pasangan anak-beranak, Ariza Ghazalee, 46, dan anak lelakinya Muhamad Afif Tambi, 19.

Empat lagi ahli keluarga terbabit ialah Tambi Jiee, 48, Mohd Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Mohd Afruz, 13.

Seorang lagi warga Sarawak ialah Meling Mula dari Bintulu.

Sementara itu, majlis perasmian Ekspo Perumahan dan Hartanah Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang dihadiri Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem semalam turut bertafakur seketika.

Ia diadakan bersempena Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 bagi menerima dua jenazah iaitu Allahyarhamah Ariza dan anaknya, Muhammad Afif Tambi yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, semalam.

 

Advertisement