Anda di sini

Seluruh rakyat Sarawak bersedih

Advertisement

KONGSI KESEDIHAN: Lawrence (berdiri kanan) turut mengibarkan bendera separuh tiang selain bertafakur di Limbang semalam.

KUCHING: Jalur Gemilang dan bendera Sarawak kelihatan dikibarkan separuh tiang di setiap premis kerajaan dan swasta di sekitar bandar raya Kuching sempena Hari Perkabungan Negara, semalam.

Kesedihan tanda simpati terhadap nasib malang menimpa mangsa-mangsa turut dirasai di seluruh negeri apabila bangunan-bangunan kerajaan dan swasta dikibarkan separuh tiang beberapa bandar seperti Miri, Sibu, Sarikei, Bintulu dan Sri Aman.

Di Mukah, bangunan jabatan dan agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan turut mengibarkan bendera separuh tiang sempena Hari Perkabungan Negara, semalam.

Pegawai Daerah Mukah Shafrie Saili melahirkan rasa syukur kerana jenazah mangsa nahas MH17 telah berjaya dibawa pulang ke tanah air dengan penuh istiadat.

Beliau turut menzahirkan rasa sedih dan prihatin terhadap tragedi MH17 sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

BERSATU DALAM KESEDIHAN: Roslan Bujang (kanan) dari Kuching yang menginap di Hotel Premier Sibu turut menulis doa kepada mangsa nahas MH17. Turut kelihatan Hii (kiri) di Sibu semalam.

Di Limbang, seramai 20 kakitangan Purnama Hotel Limbang turut bertafakur selama seminit bagi menghormati jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 semalam.

Upacara itu diketuai oleh Pengurus Residen Purnama Hotel Limbang, Lawrence Lim.

Lawrence berkata, pada majlis itu mereka turut membaca doa mengikut agama dan kepercayaan masing-masing selain mengibarkan bendera Jalur Gemilang separuh tiang.

Beliau turut melahirkan kesedihan atas insiden menyayat hati semua rakyat Malaysia.

Selain Purnama Hotel, semua agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat di sini turut bertafakur secara serentak semalam.

Di Sarikei, kehibaan tanggal 22 Ogos turut dikongsi masyarakat setempat bertafakur dan mengadakan majlis-majlis tahlil.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Suna Kaha menyifatkan kejadian itu menjadi hikmah dan renungan semua rakyat negara ini.

“Kita (bomba) melahirkan rasa simpati dan salam takziah kepada ahli-ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai mangsa nahas MH17 serta berharap mereka reda.

“Kita sedar kejadian itu bukannya suatu yang mudah diterima bagi ahli-ahli keluarga terlibat. Namun, semua berlaku itu adalah takdir Yang Maha Esa.

“Sebagai tanda sokongan dan rasa simpati terhadap Hari Perkabungan Negara (semalam) kita menganjurkan beberapa aktiviti seperti bacaan Yasin, tahlil dan solat hajat,” katanya.

Di Sibu, Hotel Premier Sibu menyediakan papan tanda peringatan gergasi sebagai mengingati pemergian mangsa nahas MH17 di lobi hotel tersebut.

Pengurus Jualan, Tony Hii berkata papan tanda peringatan itu diletakkan sejak 23 Julai lalu hingga kini.

“Hotel Premier Sibu turut bersedih atas pemergian mangsa nahas MH17. Kita bersatu dalam kesedihan,” katanya semalam.

Menurutnya, papan tanda ingatan itu memberi peluang kepada orang ramai bersama-sama berdoa dan memberi sokongan kepada keluarga dan rakan mangsa tragedi malang itu.

Advertisement