Anda di sini

Orang awam, kakitangan MAS berkumpul di luar Kompleks Bunga Raya beri penghormatan

Advertisement

BERTAFAKUR: Orang ramai bertafakur selama satu minit di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, semalam bagi memberi penghormatan kepada jenazah tragedi MH17 yang selamat tiba di Malaysia. — Gambar Bernama

SEPANG: Cuaca panas terik tidak menghalang kira-kira 1,000 orang awam termasuk kakitangan Malaysia Airlines (MAS) berkumpul di luar Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini bagi memberi penghormatan kepada 20 jenazah mangsa tragedi MH17.

Walaupun dilarang memasuki kompleks itu kerana hanya anggota keluarga mangsa sahaja yang dibenarkan, namun tidak mematahkan semangat mereka untuk hadir, malah ada yang menunggu di situ sejak jam 7 pagi.

Sementara itu, kira-kira 500 kakitangan MAS yang terdiri daripada anak kapal dan bahagian teknikal, menaiki beberapa buah van dan bas yang disediakan pihak pengurusan untuk ke Bangunan Pengurusan Penerbangan (FMB) seawal jam 9 pagi lengkap berpakaian seragam MAS.

Bermula jam 10 pagi mereka berdiri sepanjang 500 meter di kiri dan kanan laluan ke luar kompleks itu bagi melihat sendiri ketibaan jenazah termasuk rakan-rakan mereka yang kemudian dibawa berlalu menuju ke destinasi terakhir tanah perkuburan yang ditetapkan keluarga masing-masing.

Perasaan sebak dan hiba mereka dapat dilihat daripada raut wajah kakitangan MAS terutama anak-anak kapal tatkala kenderaan-kenderaan jenazah itu melintas di hadapan mereka.

Mereka menunggu sambil membawa beberapa jenis bunga putih seperti mawar dan kekwa serta ada yang membawa bendera Malaysia.

Beberapa anak kapal ketika ditemui berkata mereka hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada semua mangsa terutama anak kapal yang dianggap seperti keluarga sendiri.

Emilia Abd Latif berkata Nur Shazana Mohamed Salleh adalah antara anak kapal yang paling rapat dengannya dan kali terakhir mereka terbang bersama ialah ke Perth, Australia iaitu beberapa minggu sebelum nahas MH17 berlaku.

“Kami kerap bertukar kru kerja dan kadangkala dalam setahun hanya sekali bekerja bersama namun kami tetap seperti satu keluarga. Semasa kami hangout (lepak) bersama di Perth dia (Nur Shazana) ada berkata ‘Tak tau bila kita akan terbang sama lagi’,” katanya dalam nada sebak.

Beliau berkata semasa kenderaan jenazah itu melintasinya, apa yang bermain pada fikirannya adalah semasa pesawat itu ditembak, semua anak kapal sedang memberikan perkhidmatan kepada penumpang.

Seorang lagi anak kapal, Shazly Bashah, 40, berkata beliau terharu melihat komitmen kehadiran kakitangan MAS yang ramai walaupun dalam waktu bekerja.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. — Bernama

Advertisement