Anda di sini

Gara-gara lari dari polis, dua lelaki cedera dilanggar

Advertisement

SIBU: Dua lelaki berumur 16 dan 25 tahun menunggang motosikal dilanggar sebuah kereta Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat Pulau Li Hua di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, enjin motosikal dinaiki dua lelaki terbabit tiba-tiba terpadam ketika mereka menunggu lampu hijau di situ.

Pada masa yang sama, dua orang anggota polis peronda baharu sahaja keluar dari Balai Polis Lanang berdekatan di situ.

Apabila mendapati enjin motosikal dinaiki dua lelaki itu terpadam, salah seorang anggota polis tersebut cuba bertanya apa masalah motosikal mereka.

Terkejut melihat kehadiran polis, penunggang motosikal terbabit terus menghidupkan enjin motosikal lalu memecut ke arah Jalan Pulau Li Hua tanpa menunggu isyarat lampu hijau.

Tindakan mereka mengundang bahaya apabila sebuah kereta Perodua Myvi yang bergerak dari arah bertentangan menuju ke pusat bandar gagal mengelak mereka dan merempuh motosikal itu.

Kedua-dua penunggang dan pemboncengnya terpelanting dan terjatuh dari motosikal tersebut.

Akibatnya, penunggang berumur 16 tahun mengalami gegaran otak selepas cedera di bahagian kepala dan patah tulang kaki kirinya.

Rakannya yang membonceng motosikal tersebut juga patah kaki kirinya.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sibu menaiki ambulans milik Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Bagaimanapun, pemandu lelaki berbangsa Cina, 28, tidak mengalami sebarang kecederaan namun keretanya kemek di bahagian depan dan pecah cermin depan.

Polis trafik turut berada di lokasi kemalangan melakukan siasatan.

Kedua-dua mangsa dimasukkan ke wad selepas tiba di Hospital Sibu sekitar jam 11 malam.

Advertisement