Anda di sini

Aktiviti judi siber berjaya dipatahkan

Advertisement

LIMBANG: Hasrat dua premis perjudian siber mengaut keuntungan dalam aktiviti judi siber berjaya dipatahkan dalam satu serbuan Ops Dadu di sini malam Rabu lalu.

Dalam dua serbuan itu, polis berjaya merampas 20 set komputer yang dipercayai mengandungi perisian judi siber dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM217.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata dua lelaki seorang berbangsa Iban, 18, dan seorang lagi berbangsa Cina dipercayai penjaga premis turut ditahan.

“Operasi pertama dilakukan di sebuah premis perjudian terletak Jalan Padang Limbang jam 5.14 petang dan berjaya merampas l5 set komputer dan RM117.

“Manakala operasi kedua ditumpukan di sebuah premis judi siber di tingkat satu, Jalan Buangsiul jam 7.30 malam dan merampas wang tunai RM100 serta lima set komputer,” katanya di sini semalam.

Mohd Bukhori berkata, operasi dijalankan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Daerah dan anggota D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang untuk siasatan lanjut.

“Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Advertisement