Anda di sini

Sukan Floorball diperkenalkan di Miri

Advertisement

SIBU: Bengkel Floorball pertama yang telah diadakan pada 15 dan 16 Ogos 2014 telah menarik lebih daripada 30 pelajar dari i-Systems College Miri, beberapa orang guru sekolah menengah dan wakil dari Majlis Sukan Negeri Sarawak.

Bengkel dua hari itu dikendalikan oleh Persatuan Floorball Sabah (PFS) dengan kerjasama i-Systems College Miri.

Semasa bengkel, para peserta telah diperkenalkan kepada peraturan permainan di tempat kolej sebelum pergi ke Stadium Tertutup Miri untuk latihan.

Presiden PFS, Jarrow Marcus berkata, Floorball adalah sukan yang selamat dan bersih di mana pemain tidak boleh bermain secara berbahaya atau kasar.

Untuk memastikan permainan yang selamat katanya, mana-mana pemain yang membuat pergerakan berbahaya atau bermain kasar akan menerima penalti serta-merta.

“Permainan Floorball ini terdiri daripada lima pemain dan seorang penjaga gol.  Setiap pasukan boleh mempunyai maksimum 20 pemain.  Sukan ini tidak mempunyai garisan luar dan permainan akan bermain secara berterusan.

“Pemain juga boleh menghentikan bola dengan kaki atau badan dan terus bermain dengan kayu Floorball.

Penggantian adalah tanpa had dan pasukan itu juga boleh menggantikan semua 5 pemain pada satu masa.

“Semua ini menjadikan sukan ini sangat cepat dan menarik untuk bermain dan ditonton,” jelasnya.

Menurut Jarrow, Floorball adalah sukan yang selamat dengan kadar kecederaan yang rendah berbanding dengan kebanyakan sukan dominan lain.

“Ini adalah salah satu sebab mengapa sukan ini mendapat sambutan yang baik daripada sekolah-sekolah dan juga ibubapa,” ujar beliau.

Sepanjang bengkel ini para peserta telah diberi peluang untuk mempamerkan kemahiran mereka dengan menguji sendiri permainan tersebut.

Sementara menurut Pengetua i-Systems College Miri, Farrell Choo, kolej i-Systems akan mengendalikan latihan yang kerap bagi pelajar untuk memantapkan kemahiran mereka sebelum menganjurkan pertandingan antara pasukan.

Kolej katanya, juga akan mula turun ke sekolah-sekolah menengah untuk mempromosikan sukan ini kepada pelajar.

Mengenai rancangan yang lebih besar, Choo memberitahu kolej bercadang menyediakan dua pasukan untuk menyertai Piala Floorball Merdeka Peringkat Kebangsaan pada tahun depan.

Floorball bermula di Sweden pada tahun 1970-an sebagai alternatif kepada sukan hoki.

Pada tahun 1986, Persekutuan Floorball Antarabangsa telah ditubuhkan di Sweden oleh persatuan-persatuan Floorball Finland, Sweden dan Switzerland.

Sukan ini akan dimasukkan ke dalam Sukan SEA 2015 di mana Singapura adalah tuan rumah.

Sukan kini dimainkan di lebih daripada 80 negara dan menjadikan salah satu sukan berpasukan yang paling pesat berkembang.

Sesiapa yang ingin belajar atau mengetahui lebih lanjut mengenai sukan ini boleh menghubungi Choo melalui talian 016-8865987 atau melalui Facebook: www.facebook. com/sarawakfloorball.

 

Advertisement