Anda di sini

Semua masjid diminta adakan solat jenazah ghaib hari ini, kata Jamil Khir

Advertisement

SEPANG: Seluruh masjid diminta untuk mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat hari ini sempena istiadat penghormatan jenazah tragedi pesawat MH17.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata solat jenazah ghaib akan diadakan serentak dengan solat jenazah hadir yang diadakan khusus untuk menerima jenazah bagi disolat sebelum dikebumikan.

“Setibanya jenazah di Malaysia yang diberikan penghormatan negara, kita akan mengadakan solat jenazah hadir dan solat jenazah ghaib secara serentak di seluruh negara selepas solat Jumaat.

“Solat jenazah hadir khusus bagi masjid yang menerima jenazah untuk tujuan disolatkan pada waktu ketibaan jenazah di destinasi pengebumian, manakala solat jenazah ghaib boleh diadakan sebaik sahaja mendengar maklumat jenazah telah dimandi dan dikafankan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata bagi tujuan penyelarasan, solat jenazah ghaib peringkat negara akan diadakan secara langsung di Masjid Putra, Putrajaya.

Sebanyak 20 jenazah warga Malaysia akan tiba hari ini dari Amsterdam, Belanda dan diberi istiadat penghormatan tertinggi negara yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Dari jumlah itu, 11 jenazah beragama Islam dan sembilan lagi bukan beragama Islam. — Bernama

Advertisement