Anda di sini

Ngap Sayot terima padah hasil aksi hambar

Advertisement

KUCHING: Jentera serangan yang agak tumpul dan kegagalan menyempurnakan beberapa peluang antara punca utama Sarawak tumpas 2-0 di tangan Perak dalam perlawanan kedua Kempen Piala Malayasia di Stadium Ipoh Pe r a k ma l am Rabu lepas.

Ketua Jurulatih pasukan Sarawak, Robert Alberts berkata anak-anak buahnya tidak beraksi dengan cukup agresif bagi menyekat kemaraan tuan rumah sehingga menyaksikan skuad Seladang menjaringkan gol pertama pada minit ke-44 hasil sentuhan Mohd Nasir Basharuddin.

Tambah Alberts lagi barisan kesebelasan Sarawak bermain dengan rentak yang agak perlahan sedangkan hakikatnya mereka boleh bermain dengan lebih baik untuk memungut mata di tempat lawan.

“Secara keseluruhannya pemain menampilkan persembahan yang kurang menyengat.

Rentak permainan mereka agak perlahan dan tidak agresif mengasak lawan dengan penyudahan yang tumpul.

Ini dapat dilihat kegagalan menyempurnakan beberapa peluang keemasan untuk merapatkan kedudukan.

“Keadaan diburukkan lagi dengan beberapa keputusan pengadil yang nyata menjejaskan mutu permainan Sarawak.

Apapun kita menerima keputusan ini kerana hakikatnya pemain tidak bermain dengan begitu baik, jentera serangan tumpul,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada skuad Seladang dan berharap anak-anak buahnya dapat mengambil iktibar daripada kelemahan mereka dalam perlawanan tersebut.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan skuad Ngap Sayot kini berada di tangga ketiga dengan tiga mata dengan Perak mendahului Kumpulan B diikuti Terengganu dan Kedah di tempat keempat.

Sehubungan itu, katanya, Sarawak perlu bangkit dan memperbaiki corak permainan apabila mereka menerima kunjungan Kedah pada perlawanan ketiga pusingan pertama kumpulan itu di Stadium Negeri di sini esok (Sabtu).

Dalam perlawanan yang agak tegang dengan kekecohan ditimbulkan penyokong kedua-dua pasukan itu, menyaksikan Rashid Aya dilayangkan kad kuning kerana mengasari pemain import Perak Marco Tulio Lopes Silva pada minit ke-16.

Pada minit ke-30 Sarawak sekali lagi dilayangkan kad kuning apabila pemain pertahanannya iaitu Ronny Harun melakukan kekasaran.

Asakan demi asakan diberikan tuan rumah pada separuh masa pertama menyaksikan gol Sarawak berjaya dibolosi hasil jaringan Mohd Basir Basharuddin setelah mendapat umpanan cantik daripada Marco Tulio Lopes Silva pada minit ke-44.

Separuh masa kedua Sarawak mula memberi persaingan namun tidak cukup kuat untuk menyekat kemaraan tuan rumah yang akhirnya berjaya menambah jaringan pada minit ke-49 menerusi Abdulafees Abdulsalam hasil permainan satu dua dengan Milan Purovic.

Gol kedua skuad Seladang ternyata menuntut anak buah Robert Alberts bermain lebih garang bagaimanapun serangan demi serangan dilakukan gagal disempurnakan sebaliknya menyaksikan Mazwandy Zakeria dilayangkan kad kuning pada minit ke-52 diikuti Joseph Kalang Tie dua minit kemudian.

Sarawak sekali berputih mata apabila cubaan S Chanturu dari dalam petak penalti pada minit ke-61 tidak berjaya.

Minit ke-66 Ryan Alan Griffiths sekali lagi melakukan cubaan jaringan untuk Sarawak tetapi dengan mudah ditepis penjaga gol Perak Razi Effendi Suhit.

Asakan demi asakan cuba diberikan skuad Sgap Sayot namun masih gagal melakukan penyudahan menyebabkan kedudukan kekal 2-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.

 

Advertisement