Anda di sini

Muhyiddin saksi raptai istiadat penghormatan jenazah MH17

Advertisement

SEPANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam hadir menyaksikan raptai penuh istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini semalam.

Timbalan perdana menteri yang tiba kira-kira jam 9.45 pagi mendengar taklimat ringkas daripada Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Selain itu, Muhyiddin juga mendengar taklimat daripada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Hadir sama termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Tan Sri Joseph Kurup.

Muhyiddin meluangkan kira-kira sejam untuk menyaksikan perjalanan raptai menerima kumpulan pertama mangsa warganegara Malaysia yang melibatkan 20 jenazah yang dijadual tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA, kira-kira jam 10 pagi ini.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.

Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warganegara Netherlands, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. — Bernama

Advertisement