PUTRAJAYA: Waktu bertafakur selama seminit bagi menghormati jenazah mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 sempena istiadat penerimaan jenazah mangsa tragedi itu Jumaat ini adalah antara jam 10.45 hingga 11.15 pagi.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata selain hadirin di lokasi istiadat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), orang ramai yang tidak dapat hadir turut diminta bertafakur sebagai tanda penghormatan terakhir.
“Kita minta rakyat semua bertafakur walaupun di mana mereka berada… di rumah, di pejabat, di sekolah dan kenderaan juga diminta berhenti seketika pada waktu berkenaan.
“Kita akan maklumkan melalui siaran radio dan televisyen waktu untuk setiap orang bersedia untuk bertafakur selama seminit. Bagi beragama Islam boleh membaca al-Fatihah dan bukan Islam berdoa mengikut kepercayaan agama masing-masing,” katanya dalam sidang media Istiadat Penerimaan Jenazah Warga Malaysia Tragedi MH17 di sini semalam.
Sidang media itu diadakan bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.
Ahmad Shabery berkata orang ramai yang ingin menghadiri istiadat itu hanya boleh berada di luar pekarangan Kompleks Bunga Raya sahaja atas faktor tempat terhad dan keselamatan.
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mengaturkan beberapa tempat khas untuk diberi tumpuan oleh pihak media.
Tempat-tempat itu ialah di Jambatan Pulau Pinang; Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur; KLIA dan KLIA2; serta di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Johor Baharu.
“Sementara itu kita akan beritahu di Sabah dan Sarawak tempat paling sesuai kemudian untuk media turut beri tumpuan. Ia untuk memperlihatkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu dalam kehibaan menyambut jenazah mangsa nahas MH17,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Shabery mengingatkan semua stesen radio dan televisyen agar mengikut garis panduan yang telah kementerian tetapkan pada hari tersebut.
“Semua radio dan televisyen kita minta siarkan acara itu dan minta tidak menyiarkan acara yang bersifat hiburan berat…semua saluran tidak mengira sukan, movie, drama dan sebagainya untuk menghentikan siaran bagi bertafakur selama seminit.
“Kita juga akan runding dengan mereka bentuk ‘template’ yang akan digunakan untuk semua media sama ada saluran digital, satelit, kabel ataupun yang menggunakan siaran biasa,” katanya.
Bagi pengendali pawagam pula beliau turut meminta pihak berkenaan menghentikan tayangan seketika bagi bertafakur seminit. — Bernama